Annuar Musa umum lepas jawatan Presiden KL City FC

Annuar berucap pada Majlis Pelancaran RTM Selaku Rakan Penyiar Unifi Untuk Bola Sepak Liga Malaysia 2022 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini. - Foto Bernama
Annuar berucap pada Majlis Pelancaran RTM Selaku Rakan Penyiar Unifi Untuk Bola Sepak Liga Malaysia 2022 di Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS memainkan peranan penting dalam melakar kejayaan Kuala Lumpur (KL) City FC menjuarai Piala Malaysia 2021, Tan Sri Annuar Musa bakal melepaskan jawatan presiden kelab itu.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata faktor yang mendorong keputusan itu adalah disebabkan kekangan masa dalam memainkan peranan sebagai presiden sejak memimpin Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Kita perlu berlaku adil, kita tak boleh nak bergayut pada jawatan kalau kita rasakan kita ada kekurangan atau jangkakan ada orang lain yang boleh buat lebih baik, jadi saya dah buat setakat saya mampu.

“Sejak berada di KKMM banyak perkara saya nak buat (bersama KL City FC) (tetapi) tak dapat kerana kekangan masa. Jadi eloklah KL City FC pun sedang meningkat, elok ada seseorang yang dapat memberikan bimbingan seterusnya kerana KL City FC mempunyai potensi sangat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran RTM Selaku Rakan Penyiar unifi Liga Malaysia 2022 di KKMM di sini pada Rabu.

Pada masa sama, Annuar berkata hasratnya itu telah disampaikan secara lisan sebelum menyerahkan notis peletakan jawatan sebagai memuktamadkan keputusannya itu.

Sementara itu, beliau berkata meskipun tidak lagi bersama skuad The City Boys, beliau sentiasa bersedia memberikan input berguna demi kemajuan pasukan.

Sebagai rekod, Annuar dilantik sebagai Presiden KL City FC pada Februari 2021 dan merupakan antara watak penting yang menjadi kunci utama kebangkitan serta kejayaan pasukan itu musim lalu.

Artikel Berkaitan:

Disember lepas, KL City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 sekali gus mengesahkan tempat ke saingan Piala AFC 2022.

Dalam saingan Liga Super 2021, KL City FC menamatkan saingan di tempat keenam selepas merekodkan lapan kemenangan, sembilan seri dan tewas lima sekali gus mengumpul 33 mata daripada keseluruhan 22 perlawanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!