Zahid fail tuntutan maaf, dakwa Tun M berbohong
PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dia ada meminta bantuan untuk membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah sebagaimana didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahmad Zahid berkata, dia akan memfailkan surat tuntutan supaya pemimpin veteran itu memohon maaf.
“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengeluarkan ‘letter of demand’ (LOD) kepada Tun Mahathir untuk dia memohon maaf atas pembohongannya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Beliau menegaskan telah bertemu bekas Perdana Menteri itu kerana dijemput bersama-sama dengan presiden-presiden parti oleh Dr Mahathir untuk menyokongnya bagi membentuk kerajaan perpaduan.
“Mana mungkin saya minta digugurkan tuduhan di hadapan ramai,” ujarnya
Ahmad Zahid menjelaskan tidak pernah sekalipun dia meminta Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu untuk berbuat demikian.
“Mana mungkin saya melobi untuk digugurkan tuduhan sebelum beliau menjadi Perdana Menteri ketujuh kerana ketika itu saya adalah Timbalan Perdana Menteri dan tiada sebarang siasatan rasuah, jauh sekali dikenakan pertuduhan,” jelasnya.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang medianya pada Rabu mengakui pernah didatangi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ingin meminta bantuan untuk membebaskan dirinya daripada pendakwaan rasuah di mahkamah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!