Covid-19: Pantau, kemas kini aplikasi MySejahtera ketika kuarantin

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu yang positif Covid-19 perlu memantau dan mengemas kini gejala yang dialami di aplikasi MySejahtera setiap hari supaya tahap kesihatan mereka dapat dipantau sepanjang tempoh kuarantin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melalui video TikTok yang dikongsi di akaun Twitter beliau pada Rabu menasihati individu yang positif Covid-19 supaya menghubungi atau terus ke fasiliti kesihatan terdekat jika mendapati gejala yang dialami semakin serius.

“Pantau gejala dan tahap kesihatan anda seperti sukar bernafas, demam berpanjangan, sakit dada dan hilang selera makan,” katanya.

Beliau berkata, individu yang mendapati diri mereka bergejala perlu segera mengasingkan diri dan melakukan ujian kendiri.

“Jika positif, laporkan keputusan ujian Covid-19 di MySejahtera. Semasa dalam tempoh kuarantin, anda akan menerima notifikasi pada (ruangan) Things To Do. Ini adalah alat penilaian kesihatan dan anda boleh mengemas kini gejala yang anda alami sentiasa,” katanya.

Khairy turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mengamalkan TRIIS iaitu uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan serta memakai pelitup muka. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!