Perak, UiTM FC sah boleh beraksi di Liga Premier musim ini

STUART
STUART
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan Perak FC dan UiTM FC akan tetap beraksi dalam saingan Liga Premier musim ini selepas berjaya mendaftarkan pemain masing-masing sebelum tamat tempoh pendaftaran pertama pada Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, kedua-dua pasukan itu tidak akan berdepan dengan sebarang masalah untuk bertanding di pentas Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Bagaimanapun, Stuart menjelaskan, Perak FC yang kini dibimbing bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah hanya bergantung kepada pemain sedia ada termasuk daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia negeri itu.

“Pada jam 12 tengah malam tadi (Selasa), kita ada 20 pendaftaran untuk Perak FC dan 25 untuk UiTM FC. Pemain Perak FC yang didaftarkan adalah pemain yang dipromosi daripada Piala Belia dan Piala Presiden serta pemain yang kontraknya dilanjutkan.

“Untuk pemain baharu Perak FC, pengurusan perlu laporkan status mereka sama ada dipinjamkan ataupun menunggu pembayaran bagi membebaskan mereka daripada sekatan perpindahan sekali gus boleh didaftarkan pada jendela kedua pada Mei depan.

“Tiga pemain baharu Perak FC tiada dalam senarai pendaftaran Perak FC untuk jendela perpindahan kali ini tetapi mungkin pengurusan ada perbincangan lanjut dengan mereka,” katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran RTM selaku rakan penyiar Unifi untuk bola sepak Liga Malaysia 2022 yang disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa di Putrajaya.

Sejak beberapa minggu lalu, status penyertaan Perak FC dan UiTM FC dalam saingan Liga-M musim ini menimbulkan tanda tanya apabila masing-masing berdepan masalah tersendiri.

Artikel Berkaitan:

Perak FC masih lagi disekat daripada mendaftar pemain baharu oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati gagal menjelaskan hutang berjumlah RM1.7 juta membabitkan tunggakan gaji beberapa tonggak import selain pembayaran kepada ejen pemain.

UiTM FC pula berdepan masalah dana untuk menyertai Liga Premier musim ini, namun mendapat ‘talian hayat’ baharu apabila disahkan menerima suntikan dana berjumlah kira-kira RM3.7 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!