Orang utan sesat dalam kebun pisang ditangkap
KUNAK - [DIKEMAS KINI] Seekor orang utan liar dipercayai tersesat ditangkap sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) di Kampung Dasar Baru, Kunak 3 pada Selasa.
Kehadiran mamalia seberat 65 kilogram itu disedari penduduk di kebun pisang di kampung berkenaan sebelum menghubungi JHL untuk mendapatkan bantuan.
Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota dan pegawai JHL dikerah ke lokasi dan haiwan itu ditangkap dengan menembaknya menggunakan ubat pelali.
"Setakat ini, tahap kesihatan haiwan itu berada dalam keadaan terbaik tanpa kecederaan dan ditempatkan di Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sandakan, untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Augustine berkata, pihaknya akan terus memantau kesihatan haiwan itu termasuk imbasan sinar-X sebelum dibebaskan semula di kawasan hutan.
Tambah beliau, orang utan berkenaan akan dilepaskan sama ada di kawasan hutan Lembah Danum atau Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, Lahad Datu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!