Perangi rasuah agenda utama Pejuang

Nornekman pada sesi wacana Kompas Rasuah Busters bertajuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Tanpa Rasuah pada Rabu.
Nornekman pada sesi wacana Kompas Rasuah Busters bertajuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Tanpa Rasuah pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Antara agenda utama kepada asas penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) adalah menentang serta membanteras budaya rasuah yang semakin membarah dan memberi kesan besar kepada negara.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Pejuang Negeri Johor, Nornekman Osman berkata, berdasarkan agenda penting tersebut, Pejuang terus kekal memastikan semua barisan kepimpinan parti mempunyai tahap integriti tinggi dan kekal berprinsip terutamanya bebas daripada budaya rasuah.

Menurutnya, situasi politik yang tidak stabil dan berhadapan situasi getir yang berlaku pada masa ini merupakan isyarat bahawa rakyat mahukan barisan kepimpinan yang tulus ikhlas berkhidmat kepada negara.

Katanya, amalan rasuah yang semakin berleluasa dari peringkat pemimpin atasan sehingga ke peringkat bawahan bakal memberi kesan negatif kepada proses pembangunan negara.

"Selain menyelesaikan permasalahan orang Melayu, dasar parti adalah komited untuk memerangi amalan rasuah di semua lapisan masyarakat.

"Ini kerana rasuah membinasakan dan memberi kesan besar kepada negara serta masyarakat, seterusnya merencatkan pembangunan dinamik buat rakyat," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada sesi wacana Kompas Rasuah Busters bertajuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Tanpa Rasuah yang dibawakan secara langsung di semua platform media sosial Rasuah Busters, Sinar Harian, Astro Awani, TV Al Hijrah dan Sin Chew Daily.

Seorang lagi panel sesi wacana tersebut adalah Setiausaha Pemuda Amanah Nasional, 'Asim 'Abdullah Ainullotfi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nornekman berkata, membuktikan kesungguhan Pejuang menentang amalan rasuah, barisan kepimpinan parti itu menyahut cabaran untuk menjalani ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag).

Tegasnya, tindakan tersebut membuktikan Parti Pejuang menyokong penuh usaha menjadikan pemimpin negara bebas daripada rasuah dan berintegriti tinggi.

Menurutnya, Pejuang merupakan parti yang mendengar rintihan rakyat dan berusaha menubuhkan sebuah kerajaan yang penyayang, prihatin serta cakna terhadap masyarakat berbilang kaum.

Atas sebab itu katanya, barisan kepimpinan Pejuang perlu ikhlas berkhidmat untuk rakyat dan bebas daripada amalan rasuah.

Ditanya sama ada amalan 'perjamuan' yang sering dilakukan oleh parti-parti politik semasa pilihan raya akan dilakukan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, Nornekman berkata, menjadi adat sebagai tuan rumah (pihak parti) untuk menyediakan hidangan atau jamuan buat tetamu.

Jelasnya, perkara seumpama itu adalah budaya atau amalan sesuatu majlis untuk menyediakan jamuan bagi meraikan tetamu.

Namun begitu tegasnya, budaya memberi sogokan wang pada pilihan raya bukanlah amalan buat Pejuang kerana parti itu bukan sebuah parti yang kaya seperti mana parti-parti politik lain.

"Bukan sahaja kami tidak menyokong amalan seumpama itu kerana melanggar prinsip parti, malah kami juga tidak mampu melakukannya (beri sogokan).

"Perbuatan seumpama ini hanya memberi kelebihan kepada parti-parti politik tertentu sahaja," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!