Tiga askar Syria maut serangan tentera Israel
DAMSYIK - Tiga askar Syria terbunuh pada pagi Khamis dalam serangan udara tentera Israel berhampiran bandar raya Damsyik, menurut media kerajaan Syria.
Ia merupakan serangan kali keempat dilaporkan pada bulan ini oleh rejim Zionis di Syria.
“Musuh Israel melancarkan serangan udara dengan menggunakan beberapa buah peluru berpandu,” lapor media kerajaan SANA dengan menyatakan tiga askar Syria terkorban.
Ia turut menyatakan Kementerian Pertahanan Syria berjaya memintas kebanyakan peluru berpandu Israel dalam serangan itu yang berlaku kira-kira pada jam 1.10 pagi.
Pertubuhan Badan Pemantau Untuk Hak-hak Asasi Syria yang berpangkalan di Britain melaporkan bahawa letupan kedengaran di Damsyik dan pinggir bandar raya tersebut.
Sejak perang saudara meletus di Syria pada tahun 2011, Israel telah melakukan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria.
Ia menyasarkan kedudukan kerajaan dan tentera sekutu yang disokong Iran serta para anggota gerakan militan Syiah, Hizbollah.
Israel jarang mengulas mengenai serangan udara yang dilakukannya di Syria. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!