Jadikan Elanga sebagai contoh: Rangnick
PENGENDALI sementara Manchester United, Ralf Rangnick memuji persembahan ditampilkan pemain mudanya, Anthony Elanga yang berjaya menjaringkan gol penyamaan pada pusingan pertama kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Atletico Madrid, awal pagi tadi.
Rangnick turut menggesa anak buahnya menjadikan Elanga sebagai contoh dan model yang harus diikuti apabila pemain kelahiran Sweden itu mempamerkan aksi yang mengagumkan selain menikmati setiap minit beraksi di atas padang pada perlawanan tersebut.
"Dia (Elanga) bermain seolah-olah mimpinya sebelum ini menjadi kenyataan. Saya sangat seronok dan gembira melihatnya bermain hari ini. Saya berharap beberapa pemain lain mengambil dia sebagai contoh dan ikut cara dia bermain pada perlawanan ini.
"Bukan kerana dia melakukan segala-galanya dengan betul, tetapi dia sedang berseronok di atas padang dan kita tahu itu semua tentangnya. Bola sepak adalah permainan yang mana pemain perlu berseronok di atas padang. Inilah yang saya mahu bayangkan kepada pemain United pada masa akan datang dan ketika menentang Atletico di perlawanan timbal balik kedua,” katanya.
Pada perlawanan tersebut, Atletico terlebih dahulu berjaya membuka tirai jaringan di Wanda Metropolitano melalui tonggak serangan, Joao Felix.
Bagaimanapun, mereka gagal untuk menambah bekalan gol untuk dibawa ke Old Trafford sebaliknya membenarkan lawan memperoleh jaringan penyamaan selepas Elanga mengutip hantaran Bruno Fernandes sebelum menyudahkannya dengan tenang ketika aksi berbaki 10 minit.
Elanga merupakan penjaring gol termuda United pada peringkat kalah mati Liga Juara- Juara Eropah iaitu pada usia 19 tahun 302 hari.
"Saya sentiasa mengimpikan saat seperti ini, menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara berdepan pasukan handalan seperti Atletico Madrid.
"Apabila saya mendapat peluang kelab, saya hanya mahu membalas kepercayaan ditunjukkan pengurus.
“Saya sentiasa katakan kepada diri sendiri, mahu menjadi pemain terbaik di atas padang," kata Elanga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!