18 dipanggil bantu siasatan kes bayi maut di pusat asuhan

Laporan Sinar Harian berkenaan kematian bayi berusia 15 bulan.
Laporan Sinar Harian berkenaan kematian bayi berusia 15 bulan.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 18 individu telah dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan berusia 15 bulan di sebuah pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, mereka terdiri daripada pengusaha pusat asuhan, pengasuh dan ibu bapa lain yang menghantar anak di situ.

Menurutnya, hasil laporan bedah siasat dilakukan di Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar di sini pada Rabu mendapati tekanan pada leher menjadi punca kematian bayi berkenaan.

"Bedah siasat dilakukan pada jam 9.45 pagi hingga 1.10 tengah hari mendapati punca kematian mangsa disebabkan tekanan pada leher.

"Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut," katanya kepada media pada Khamis.

Tambah Nanda, hasil siasatan awal juga mendapati pusat jagaan kanak-kanak itu tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beroperasi sejak penghujung tahun 2019.

Katanya, pemilik pusat asuhan itu ialah dua wanita berusia 29 tahun dan 37 tahun.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri jam 3 petang di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Mangsa telah diberi susu oleh pengasuh dan dimasukkan ke dalam bilik tidur bersama dua kanak-kanak lain pada jam 12.30 tengah hari.

Namun pada jam 3 petang, pengasuh masuk semula ke dalam bilik dan mendapati mangsa dengan keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.

Pengasuh kemudian telah melakukan bantuan kecemasan kepada bayi terbabit namun mangsa didapati tidak bernafas dan meninggal dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!