Pilihan laksana PdPR tidak bebankan sekolah, pelajar

ROSLI
ROSLI
A
A
A

IPOH - Kumpulan Penggerak Ibu Bapa dan Komuniti (KPIBK) Perak menyambut baik saranan Kementerian Pendidikan (KPM) yang memberi pilihan kepada sekolah untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya penularan kes Covid-19 meningkat.

Pengerusinya, Datuk Rosli Yang Danian berkata, ketetapan itu sesuai untuk dilaksanakan ketika ini memandangkan penularan Covid-19 terus meningkat setiap hari.

Kata beliau, keputusan kementerian itu juga tidak membebankan pihak sekolah serta pelajar yang kurang berkemampuan kerana bukan bersifat paksaan.

"Pelaksanaan PdPR ini perlu dilaksanakan demi keselamatan anak-anak tetapi dalam bentuk selektif dan bukan di semua tempat. Bagi kawasan merah, mungkin terdapat keperluan melaksanakannya bagi mengelak jangkitan merebak di sekolah.

"Bagi kawasan hijau, mereka boleh terus melaksanakan pembelajaran secara bersemuka tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat supaya tidak berlaku penularan jangkitan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, Rosli menggesa pihak kementerian dan sekolah memperketatkan SOP di sekolah bagi mengelak wujudnya lebih banyak kluster pendidikan.

Menurutnya, pelaksanaan PdPR juga tidak akan menjejaskan pelajar kerana kebanyakan kes meningkat di kawasan bandar malah bukan sesuatu yang baharu.

Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa supaya lebih bertanggungjawab terhadap anak masing-masing dengan memastikan tidak membawa mereka ke tempat tumpuan ramai.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini jumlah kanak-kanak yang divaksin masih rendah. Dalam keadaan kes semakin meningkat akibat pengabaian SOP, elakkan membawa anak-anak ke tempat-tempat awam.

"Usaha membendung penularan ini memerlukan kerjasama semua pihak dan keadaan yang tidak terkawal ini akan mengganggu proses pendidikan anak-anak," katanya.

Pada Rabu, KPM memberi pilihan kepada sekolah rendah dan menengah untuk menjalankan PdPR sekiranya penularan kes Covid-19 pada tahap tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, kementerian kini memfokuskan kepada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!