Lelaki mengaku tidak bersalah cederakan bapa tiri

Tertuduh yang berkain pelekat dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis.
Tertuduh yang berkain pelekat dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Petani atas dakwaan menyebabkan kecederaan ke atas bapa tirinya, Selasa lalu.

Tertuduh, Mohamad Farol Rafiq Md Rodzi, 29, yang hadir ke mahkamah dengan berkain pelekat membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Nordin Ahmad, 72, di sebuah rumah di Kampung Ruat, Yan kira-kira jam 7 pagi, 15 Februari lalu.

Disebabkan perbuatan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hamizah Mat Shah dan tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Kedah, Farahdina Che Bakar.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 selain diminta rujuk ke Hospital Bahagia bagi mendapatkan laporan psikiatri memandangkan status tertuduh yang merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) masalah mental.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan agar tidak mengganggu mangsa.

Artikel Berkaitan:

Farahdina dalam rayuan memohon agar dikurangkan jaminan memandangkan tertuduh hanya mengambil upah kerja kampung, tidak mempunyai pendapatan tetap selain berstatus OKU serta masih bujang.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin serta syarat yang dikenakan agar tidak boleh mendekati dan menghubungi mangsa.

Tertuduh juga dikehendaki melaporkan diri ke balai polis terdekat dalam tempoh sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Mac 2022 bagi mendapatkan laporan psikiatri.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai tindakan seorang lelaki yang menendang seorang warga emas dipercayai bapa tiri dalam kejadian di Yan, minggu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!