Telaga air timbul tidak pernah kering

Penduduk mengharapkan pihak berkuasa dapat menambah baik kawasan telaga tersebut kerana mampu menjadi tarikan kepada pelancong setempat dan luar. (Gambar kecil ) Mohd Fakrulrazi (kiri) menunjukkan air diambil dari telaga air timbul di Kampung Bukit Sireh, Pokok Sena baru-baru ini.
Penduduk mengharapkan pihak berkuasa dapat menambah baik kawasan telaga tersebut kerana mampu menjadi tarikan kepada pelancong setempat dan luar. (Gambar kecil ) Mohd Fakrulrazi (kiri) menunjukkan air diambil dari telaga air timbul di Kampung Bukit Sireh, Pokok Sena baru-baru ini.
A
A
A

POKOK SENA - Kawasan Kampung Bukit Sireh, dekat sini pernah menjadi tumpuan suatu ketika dahulu kerana terdapat sebuah telaga yang tidak pernah kering sehingga hari ini.

Telaga air timbul atau dikenali Bhoe Nam Put oleh penduduk setempat menjadi bekalan air bagi kegunaan harian mereka terutamanya pada musim kemarau.

Seorang penduduk, Abu Bakar Saad, 57 berkata, kewujudan telaga tersebut disedari dan digunakan oleh masyarakat setempat sejak lebih 100 tahun dahulu.

"Telaga ini dahulu asalnya tempat kerbau berkubang. Lepas itu penduduk kutip duit beli dua buah pembetung untuk membuat telaga.

Penduduk tidak korek tanah cuma letak pembetung tersebut di atas punca air.

"Apabila penduduk ambil air dan disalurkan ke petak sawah padi seperti musim panas sekarang, lepas 15 minit air di dalam telaga akan penuh kembali," katanya kepada pemberita semasa ditemui di tapak telaga air timbul dekat sini baru-baru ini.

Jelas Abu Bakar, kawasan tersebut pernah mengalami musim kemarau selama enam bulan pada tahun 80-an, telaga berkenaan menjadi punca air kepada lebih 400 penduduk Kampung Bukit Sireh, Kampung Budi, Kampung Bendang dan Kampung Pulau Keramat.

Menurutnya, pada setiap waktu sehingga tengah malam akan ada penduduk yang datang mengambil air namun bekalan air dari bawah tanah itu tidak pernah kering.

Artikel Berkaitan:

Pemilik kawasan air telaga timbul, Sofian Shaari menunjukkan air diambil dari telaga yang berwarna jernih dan sejuk.
Pemilik kawasan air telaga timbul, Sofian Shaari menunjukkan air diambil dari telaga yang berwarna jernih dan sejuk.

"Selepas bekalan air mula disalurkan melalui paip ke rumah penduduk pada penghujung tahun 80-an, makin kurang orang yang datang ke telaga ini," ujarnya.

Bagi penduduk Kampung Budi, Mohd Fakrulrazi Shaari, 42, pula, telaga tersebut umpama menjadi kawasan pesta kepada penduduk pada musim kemarau kerana sentiasa ada yang datang mengambil air di situ.

"Pada musim panas tanah betul-betul kering-kontang sebab kemarau panjang.

Telaga inilah yang menjadi sumber air kepada kampung-kampung sekitar.

"Seronok bila melihat keadaan suasana pada ketika itu tapi kini suasana dah berubah.

Kawasan telaga di sini masih dijaga dan kami mengharapkan agar ditambah baik lagi kerana mampu menjadi kawasan pelancongan," katanya.

Menurut Mohd Fakrulrazi lagi, air mata daripada telaga tersebut juga menjadi salah satu air dari 12 daerah di Kedah yang diambil bagi menyempurnakan Istiadat Siram Tabal Pertabalan Sultan Kedah Ke-29, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff pada Oktober 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!