'Tiada pertelingkahan tentu calon bersama MCA' - Hasni
JOHOR BAHRU - Pengumuman calon Barisan Nasional (BN) pada Khamis menyaksikan hanya calon UMNO dan MIC sahaja yang diumumkan di Ibu Pejabat UMNO Johor sekali gus menimbulkan persoalan kedudukan MCA.
Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad menafikan berlaku pertikaian dalam perbincangan kerusi bersama MCA atau mana-mana komponen mahu pun Friends of BN.
"Tiada pertelingkahan dalam penentuan calon bersama MCA. Sebenarnya apa yang terjadi adalah kesedaran terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini lebih mendalam, dengan semua parti dan calon sedar ini bukanya pilihan raya biasa.
"Semua komponen mahu memastikan calon yang ditampilkan adalah yang terbaik. Senarai calon MCA dijangka akan dimuktamadkan selewatnya sebelum penamaan calon pada Sabtu ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon BN, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden MIC, M Asojan.
Dalam pada itu Hasni turut menafikan berlaku pertukaran kerusi tradisi MCA dengan calon UMNO.
"Tak bukan sebab pertukaran kerusi seperti Pulai Sebatang atau pun Parit Yaani yang menjadi kerusi tradisi MCA.
"Persetujuan pertukaran kerusi antara MCA dan UMNO adalah disebabkan calon yang dikemukakan perlu terbaik ditampilkan seperti ditetapkan pucuk pimpinan," katanya.
Barisan Nasional (BN) Johor, pada Khamis mengumumkan senarai calon bagi 56 kerusi DUN dengan pecahan UMNO bertanding di 37 kerusi, MCA 15 kerusi dan MIC empat kerusi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!