Pekerja kontrak mengaku bersalah hantar komunikasi lucah

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

SEPANG - Seorang pekerja kontrak pada Khamis mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 12 pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi WhatsApp dan laman sosial Facebook antara 2018 dan 2019.

Muhammad Hakim Habibullah, 31, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah melalui aplikasi WhatsApp dan memuat naik kandungan sama di laman Facebook miliknya antara 21 September 2018 dan 23 Jun 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Noorhisham Mohd Jaafar membenarkan Muhammad Hakim diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Mac untuk menjatuhkan hukuman.

Muhammad Hakim yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kerana tidak mampu membayarnya akibat tiada pekerjaan tetap serta perlu menanggung ibunya, selain memohon untuk diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Nazrul Nizam Mohd Zameri. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!