Jahidah positif Covid-19

Jahidah dan bayinya sebelum dia dimasukkan ke hospital. - Foto ihsan Fauziah
Jahidah dan bayinya sebelum dia dimasukkan ke hospital. - Foto ihsan Fauziah
A
A
A

SEREMBAN - Selepas sebulan terlantar di hospital, wanita mangsa keganasan rumah tangga, Jahidah Nordin, 43, yang sebelum ini koma dipukul suami disahkan positif Covid-19.

Adiknya, Fauziah Nordin, 40, berkata, pihak hospital memaklumkan yang Jahidah dipindahkan ke wad Covid-19 Hospital Tuanku Jaafar(HTJ) Seremban pada petang Rabu.

Menurutnya, makluman itu agak mengejutkan dan membimbangkan keluarga lebih-lebih lagi dengan keadaan Jahidah yang tidak dapat bergerak dan bercakap.

"Saya pun pelik macam mana kakak boleh positif Covid-19 kerana penjaga pun tidak dibenarkan masuk dan orang yang keluar masuk hospital pun akan diperiksa.

"Kami sangat risau dengan keadaan kakak, dia alami demam turun naik serta keadaan kudis belakang badannya makin teruk," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Apa yang lebih membimbangkan keluarga kata Fauziah, kakaknya juga masih belum divaksin.

Katanya, disebabkan itu pihak hospital memaklumkan yang Jahidah akan dipantau dalam tempoh 10 hari.

"Kita tahulah orang kena Covid-19 ini macam mana.

Artikel Berkaitan:

Orang yang sihat pun boleh jadi teruk inikan pula kakak yang bernafas bukan dengan cara biasa.

"Jadi kami berserahlah dan harapnya kakak akan pulih," katanya.

Sementara itu berkenaan keadaan anak Jahidah, Fauziah berkata, J Eshan Nufail yang sudah berusia dua bulan berada dalam keadaan baik namun sedikit meragam pada Rabu, kemungkinan rindu akan ibunya.

Namun katanya, bayi berkenaan tidur lena selepas diselimutkan dengan baju Jahidah.

Untuk rekod, pada 21 Januari lalu Jahidah dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas tahap kesihatannya dilaporkan tidak stabil akibat demam, muntah dan nafasnya turun naik.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke HTJ atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.

Sebelum ini pada 17 Jun 2021, suami mangsa, Rosmaini Abd Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!