Maut atas bumbung terkena renjatan elektrik

Anggota bomba menurunkan mayat mangsa yang ditemui terbaring atas bumbung sebuah rumah dipercayai terkena renjatan elektrik. - Foto ihsan bomba
Anggota bomba menurunkan mayat mangsa yang ditemui terbaring atas bumbung sebuah rumah dipercayai terkena renjatan elektrik. - Foto ihsan bomba
A
A
A

ALOR SETAR – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di atas bumbung sebuah rumah di Lorong Pauh, Derga dekat sini, pada pagi Khamis dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II, Ahmad Naufal Abdullah berkata, mangsa berusia 38 tahun dikatakan sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di atas bumbung rumah tersebut sebelum menemui ajal.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi Kedah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian MERS 999 pada 11.46 pagi.

"Setibanya pasukan operasi di lokasi, didapati seorang lelaki terbaring di atas bumbung dan dipercayai terkena renjatan elektrik. Kami membawa mangsa turun dengan menggunakan pengusung," katanya.

Ahmad Naufal berkata, pemeriksaan oleh kakitangan perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

"Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau memaklumkan, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!