Serangan Christchurch paparkan perilaku Islamophobia

Pita keselamatan polis diletakkan di lokasi insiden serangan pengganas yang menyasarkan dua masjid di Christchurch, Jumaat lalu. - Foto AFP
Pita keselamatan polis diletakkan di lokasi insiden serangan pengganas yang menyasarkan dua masjid di Christchurch, Jumaat lalu. - Foto AFP
A
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyokong penuh keputusan Dewan Rakyat semalam yang sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk serangan berdarah di Christchurch, New Zealand Jumaat lepas yang mengorbankan lebih 50 nyawa.

Yang Dipertuanya Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, tragedi itu adalah satu tindakan ganas yang boleh dianggap sebagai jenayah kemanusiaan yang wajib dikecam oleh masyarakat antarabangsa.

Tindakan menceroboh privasi orang Islam yang mempraktikkan kepercayaan beragama menggambarkan betapa terkaitnya sikap dan perilaku sesetengah pihak dengan provokasi Islamophobia.

Segala jenis tindakan radikalisme sangat bertentangan dengan nilai-nilai universal yang diakui oleh semua agama dan konsep hak asasi manusia yang diakui oleh semua negara di dunia, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

"Tembakan rambang ke atas umat Islam yang bersiap sedia untuk mengerjakan solat Jumaat itu adalah suatu tindakan yang lahir dari sikap terburuk terhadap kebebasan agama yang dijamin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan juga kerajaan New Zealand," katanya.

Nik Omar berkata syariat Islam pada dasarnya melindungi dan menghargai manusia sebagai individu yang bermartabat dan semua tindakan yang melawan kebebasan dan martabat manusia adalah bertentangan dengan syariat Islam.

"Kekerasan akan memunculkan kekerasan yang baru serta menumbuhsuburkan tradisi dendam kesumat," katanya.

Serangan pengganas di Masjid Al Noor Mosque dan Masjid Linwood di Christchurch itu turut mencederakan lebih 20 orang termasuk tiga rakyat Malaysia. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!