Shaharuddin, anak bekas MB antara calon Pejuang di PRN Johor

Mukhriz ketika mengumumkan senarai nama calon Pejuang yang akan bertanding pada PRN Johor dalam majlis yang diadakan di Muar pada Khamis.
Mukhriz ketika mengumumkan senarai nama calon Pejuang yang akan bertanding pada PRN Johor dalam majlis yang diadakan di Muar pada Khamis.
A
A
A

MUAR – Bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Dr Shaharuddin Mohd Salleh dan anak sulung bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian diumumkan antara 42 calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Shaharuddin yang juga Setiausaha Agung Pejuang akan bersaing di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap.

Katanya, Nornekman Osman pula ditempatkan di DUN Kempas yang pernah ditandingi arwah bapanya pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

“Memang DUN di mana Allahyarham Osman berkhidmat dulu maka anaknya telah dipilih menjadi calon (Pejuang).

“Semoga tawaran calon kita ini untuk rakyat Johor diberikan petunjuk dan diberikan kemenangan oleh ALLAH,” katanya ketika mengumumkan senarai calon PRN Johor, di sini pada Khamis yang turut disiarkan secara langsung di Facebook Pejuang.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pejuang, Datuk Marzuki Yahya.

Allahyarham Osman yang juga Menteri Besar Johor ke-16 meninggal dunia pada 22 Disember tahun lalu pada usia 69 tahun selepas diserang strok.

Allahyarham memenangi kerusi itu pada PRU14 lalu dengan majoriti 9,178 undi atas kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel Berkaitan:

Mukhriz menegaskan, komposisi calon yang diketengahkan parti itu adalah muka-muka baharu kerana kali pertama akan bertanding dalam PRN.

“Kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kali pertama menyertai parti politik dan ada juga yang datang daripada parti lain sebelum Pejuang ditubuhkan," ujarnya.

Menurutnya, ramai antara calon-calon diketengahkan juga berkhidmat dalam sektor swasta, aktif dalam kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) dan akademik yang sememangnya pengalaman itu amat diperlukan sekiranya Pejuang dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas diberi mandat oleh rakyat

Mukhriz menambah, empat daripada calon Pejuang adalah wanita berumur di bawah 50 tahun.

Katanya, kesempat-empat calon itu datang daripada pelbagai latar belakang politik dan kebanyakan pertama kali menyertai politik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!