Tempoh penerima Sinovac dapatkan dos penggalak dilanjutkan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melanjutkan tempoh masa untuk penerima vaksin Sinovac bagi mendapatkan dos penggalak kepada 31 Mac depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menerima apa-apa dos primer sebelum ini turut perlu berbuat demikian.

"Bermula 1 April status vaksinasi lengkap akan bertukar kepada tidak lengkap sekiranya individu tersebut tidak mendapat dos penggalak," katanya ketika sidang akhbar di kementeriannya pada Khamis.

Pada 7 Februari lalu, KKM menggesa penerima dos primer Sinovac segera mengambil dos penggalak sebelum berakhir bulan ini bagi mengelakkan sijil vaksinasi di MySejahtera berwarna kuning bertukar menjadi putih.

Seramai 3.5 juta penerima dos primer Sinovac belum mendapat dos penggalak.

Sementara itu, Khairy berkata, setakat Rabu, 97.5 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap manakala 60.7 peratus menerima dos penggalak.

Dalam kes harian jangkitan yang direkodkan pada Rabu, beliau berkata, terdapat 194 kes merupakan kategori tiga, empat dan lima.

"Ia melibatkan 46 kes tidak atau belum lengkap divaksinasi turut direkodkan, 108 kes telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak manakala 41 kes telah menerima dos penggalak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia merekodkan kes harian tertinggi sejak pandemik melanda negara dengan 31,199 kes dilapor pada Rabu.

Ujarnya, meskipun negara mencatatkan peningkatan kes harian dan bilangan kemasukan ke hospital, keberkesanan vaksin adalah sangat baik dalam melindungi individu daripada jangkitan yang lebih teruk.

"Terutama sekali kumpulan dewasa atau warga emas yang telah menerima vaksin dos penggalak dan kumpulan remaja lengkap dua dos.

"Sebab itu kita hanya menyaksikan sedikit peningkatan dalam bilangan kemasukan ke unit rawatan rapi dan kes kematian akibat Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!