Pemandu lori, pekerja kontrak mengaku hantar mesej lucah
PETALING JAYA - Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan menghantar mesej lucah kepada seorang wanita tidak dikenali, dua tahun lalu.
Mohd Razman Ramli, 32, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan fakta kes dan jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi media sosial secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang lucah sifatnya kepada seorang wanita dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Ia telah dilihat di sebuah rumah di Ara Damansara, di sini pada jam 2.49 petang, 20 April 2020 lalu.
Atas kesalahan itu, OKS didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala OKS tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Sepang, seorang pekerja kontrak mengaku bersalah atas 12 pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah menggunakan perkhidmatan aplikasi media sosial.
Muhammad Hakim Habibullah, 31, selaku OKS membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Mengikut semua pertuduhan, OKS didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Hantaran itu dilihat di Puchong, Selangor pada jam 7.40 pagi dan 12.35 tengah hari antara 13 Disember 2018 hingga 23 Jun 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) akta sama dengan hukuman yang sama.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Mac depan untuk fakta kes, jatuh hukum dan lantikan peguam.
Hakim Noorhisham membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC, Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala OKS tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!