Pertembungan Muda, PKR di Larkin jejaskan muafakat pembangkang

Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyifatkan tindakan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang memutuskan untuk meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini sudah menjejaskan kerjasama dan usaha muafakat terhadap penyatuan parti pembangkang.

Justeru menurutnya, ruang dan peluang masih terhidang buat PKR untuk berbincang semula bersama-sama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP bagi meletakkan calon di kerusi-kerusi yang sudah diberikan kepada Muda terutamanya N41 Puteri Wangsa.

“Muda yang pada awalnya sudah ditawarkan tiga kerusi oleh PKR dan beberapa kerusi yang lain oleh DAP dan Amanah perlu menghormati rakan dan runding sebaik-baiknya sebelum proses pemilihan calon diadakan.

“Jika Muda terus berlagak sebagai abang besar seperti ini, maka tiada faedah dan manfaat kerjasama ini dibincangkan serta mereka sebaik-baiknya memilih jalan yang sama seperti Pejuang dan Warisan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, sikap Muda bukan sahaja boleh menjejaskan keharmonian kerjasama politik, malah konteks yang lebih luas untuk dipertimbangkan adalah perasaan akar umbi dan kemungkinan yang akan berlaku menjelang hari pengundian.

Muda dalam satu kenyataan pada Khamis mengumumkan akan bertanding di kerusi DUN Larkin pada PRN Johor, sekali gus ‘bertembung’ dengan PKR.

Selain Larkin, dua lagi kerusi turut diumumkan dalam kenyataan sama iaitu, Machap dan Parit Raja.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!