Durioo+ menawarkan rancangan islamik untuk kanak-kanak
SYARIKAT animasi digital, Durioo memperkenalkan platform penstriman Durioo+ yang menawarkan kandungan kartun dan rancangan berunsur islamik untuk kanak-kanak.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Durioo, Sinan Ismail berkata, Durioo+ akan berfungsi seperti platform penstriman Netflix dengan yuran langganan serendah RM12.90 sebulan.
"Melalui hasil soal selidik yang telah kami buat, ibu bapa menghadapi masalah untuk menyediakan kandungan yang sesuai untuk ditonton oleh anak-anak mereka.
"Ramai ibu bapa termasuk saya berikan anak-anak tengok YouTube sebab tak ada alternatif. Dalam YouTube itu berkemungkinan ada kandungan yang kurang sesuai, iklan dan algoritma yang akan mengarah kepada kandungan yang tidak sepatutnya.
"Di Durioo+ masalah itu tidak ada dan kanak-kanak hanya akan menikmati kandungan bercirikan islamik yang berkualiti tinggi," katanya dalam sidang media secara maya pada Khamis.
Menurutnya, setakat ini Durioo+ sudah mempunyai 4,000 pelanggan selepas 'soft launch' platform itu pada awal Februari lalu.
Beliau berkata, ia satu permulaan yang positif dan setakat ini Durioo+ telah memuatnaik lebih 120 episod kartun.
"Platform Durioo+ ketika ini sudah berada di iPhone, iPad dan Apple Tv serta laman sesawang Durioo+. Untuk akan datang kami menyasarkan untuk memuat naik 30 video baharu setiap minggu.
"Bagi permulaan buat Durioo Originals, syarikat memperkenalkan dua siri animasi iaitu Little Ammar dan Mina Mila yang sudah boleh ditonton dalam Durioo+.
"Kami juga akan bekerjasama dengan syarikat lain selain melesenkan kandungan daripada penerbit Muslim yang mempunyai kandungan islamik yang menarik," katanya.
Dalam pada itu, Sinan menjelaskan misi syarikatnya itu dengan menyasarkan 1.9 bilion penonton Islam di seluruh dunia dalam tempoh jangka masa panjang.
"Manakala untuk tempoh tiga tahun daripada sekarang, sasaran kami adalah untuk mendapatkan satu juta pelanggan. Kami harap ia dapat direalisasikan kerana misi kami untuk memberikan impak kepada kanak-kanak amat besar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!