Inkues Adib: Saksi lihat Adib keluar dari van EMRS, dihimpit

Budd Mohsin hadir ketika prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - Foto Bernama
Budd Mohsin hadir ketika prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Warga Pakistan, But Mohsin menjadi satu-satunya saksi setakat ini yang melihat anggota bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim keluar daripada kenderaan itu dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman November lalu.

But Mohsin yang bekerja sebagai juruteknik penyaman udara selama empat tahun di negara ini, turut melihat Muhammad Adib dihimpit oleh van EMRS dan sebuah kereta yang di pakir di bahu jalan ketika jentera Fire Tender Rescue (FRT) berundur.

"Saya berada di pos pengawal kawasan perumah USJ 17 dan jaraknya 10 meter dari FRT dan van EMRS berhenti.

"Saya lihat ada anggota bomba memakai uniform turun dan kemudian terus naik semula selepas menyedari mereka di serang oleh orang awam.

Seorang anggota bomba yang memakai topi keledar yang saya lihat berada di antara FRT dan van EMRS turut meluru membuka pintu sliding van dan masuk ke dalamnya.

Bagaimanapun seorang anggota bomba yang memakai baju biru gelap atau hitam dan berseluar celoreng berwarna oren yang keluar dari bahagian hadapan penumpang van itu tidak sempat memasuki semula jentera mereka," katanya kepada Mahkamah Koroner.

Menurutnya, anggota bomba itu kemudian terhimpit antara van dan kereta yang dipakir.

"Dia kemudiannya jatuh terlentang dan orang ramai mengerumuninya seperti menyerang anggota bomba itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hamdan: Boleh kamu beritahu mahkamah, apakah jenis kereta yang dihimpit oleh van EMRS?

Saksi: Saya tidak perasan.

Hamdan: Kamu lihat mangsa jatuh terlentang?

Saksi: Iya.

Hamdan: Apa yang terjadi selepas itu?

Saksi: Saya nampak orang ramai macam serang dia. Saya juga nampak ada orang cuba bantu. Ada orang mengangkat dan membawa Adib ke arah Caltex.

Hamdan: Bagaimana kamu tahu itu Adib?

Saksi: Saya tahu melalui berita selepas kejadian.

Prosiding hari ke 13 berlangsung di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung esok dengan pemeriksaan balas oleh peguam keluarga dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!