EP Borneo menang anugerah peringkat Asia Pasifik dan Asia Tenggara
SYARIKAT penyedia perkhidmatan pembersihan am tempatan, EP Borneo Sdn Bhd (EP Borneo) memenangi Anugerah Bisnes Asia Pasifik (APAC) 2021 dan Syarikat Pembuatan Mesra Alam Sekitar Terbaik Asia Tenggara 2021.
Pengasas EP Borneo Hayden Clark berkata, ia sekali gus menunjukkan kualiti produk, sistem dan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat itu adalah terbaik.
“Dalam suasana selepas pandemik ini, syarikat-syarikat perlu bangkit untuk mendapatkan rakan perniagaan baharu khususnya dalam kerja-kerja pembersihan dan pencucian.
“Dalam hal ini, EP Borneo Sdn Bhd mempunyai fokus terhadap penyelesaian kerja-kerja kalis air mesra alam sekitar, pengendalian bahan tambahan binaan seperti EP Waterproofing Solution dan projek bersama pemeliharaan yang tersenarai sebagai warisan dunia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
EP Borneo yang ditubuhkan pada tahun 2005 mempunyai pengalaman 20 tahun dengan rekod kerjanya terbukti dari Australia hingga ke Malaysia.
Sementara itu, rakan niaga EP Borneo, Aurelia Harumal berkata, dalam menyediakan perkhidmatan terbaik, EP Borneo juga bekerjasama dengan para pemilik rumah, syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME), korporat multinasional dan jabatan kerajaan di banyak tempat, dari Timur Tengah hingga Indonesia.
Menurutnya, bahan-bahan yang digunakan oleh produk EP adalah terbaik dari pembekal terbaik dan ia disahkan 100 peratus terbiogradasi oleh Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) dan piawaian Kesatuan Eropah (EU) serta semua pertubuhan alam sekitar sedunia.
“Produk EP mempunyai kesan negatif sifar ke atas laluan air dan laut. Ia tidak mempunyai impak terhadap kehidupan tumbuhan dan tidak meninggalkan bahan sampingan buruk yang terus wujud bertahun-tahun lamanya. Semua produk EP adalah berasaskan air, dengan kebanyakannya dibentuk menggunakan air hujan yang dikumpul melalui tangki kami. Produk EP tidak digunakan untuk ujian ke atas haiwan.
“Visi EP Borneo adalah untuk memberikan penyelesaian mesra eko kepada industri yang selama ini tidak mempunyai kesedaran alam sekitar dalam operasinya. Memandangkan Asia Tenggara adalah pasaran dunia yang sedang pesat membangun, keperluan bagi penyelesaian mesra alam sekitar dan pendidikan adalah amat penting bagi planet kita,” ujarnya.
Tegas beliau, ketika bahan kimia dikatakan menyumbang kepada bencana alam sekitar sekarang, bukan sahaja industri berat seperti pembinaan, minyak dan gas luar pantai, malah pemilik rumah perlu mengubah pemikiran agar dapat hidup ke arah menyelamatkan bumi.
Katanya, sejak 15 tahun lalu, EP Borneo Sdn Bhd turut bekerjasama dengan syarikat-syarikat besar dunia seperti Petronas, Saudi Aramco, Mahindra, BHP, Shangrila Group dan Sim Leisure Group: Theme Park dan turut terlibat dalam projek-projek arkitek yang memenangi anugerah termasuk pemenang Guinness World Records iaitu World's Longest Water Slide Penang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!