Program bantuan pendidikan TNB beri manfaat lebih 20,000 pelajar
KUALA LUMPUR – Lebih 20,000 pelajar menerima manfaat daripada seluruh program bantuan pendidikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan anggaran tajaan bernilai melebihi RM1.3 bilion.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, tajaan disalurkan melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN) sejak 1993 meliputi pemberian biasiswa, pinjaman boleh ubah, termasuk di bawah Program Dermasiswa My Brighter Future (MyBF), kepada pelajar pengajian tinggi.
Menurutnya, sehingga kini, lebih 20,000 pelajar menerima manfaat daripada seluruh program bantuan pendidikan dengan anggaran tajaan melebihi RM1.3 bilion.
“Sebagai warga korporat prihatin, TNB mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pendidikan.
“Penawaran Dermasiswa MyBF adalah strategi serampang dua mata iaitu mencipta akses pendidikan tinggi kepada golongan yang tidak berkemampuan sekali gus membasmi masalah kemiskinan.
“Membangunkan modal insan negara melalui penyediaan peluang pendidikan adalah satu daripada inisiatif tanggungjawab korporat TNB, selain daripada program-program berkaitan sosio-ekonomi, alam sekitar dan sukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau sebelum itu menyempurnakan penyerahan 1,760 lagi MyBF bagi tahun 2021 di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Ibu Pejabat TNB, di sini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah YTN, Datuk Ir. Dr. Ibrahim Hussein.
TNB memperuntukkan RM49 juta bagi membiayai pengajian pelajar MyBF pengambilan 2021 di lebih 45 institusi pengajian di seluruh Malaysia dalam bidang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurut Hasan, sejak MyBF diperkenalkan pada 2018, lebih 6,800 orang pelajar dari golongan B40 menikmati pembiayaan pengajian masing-masing meliputi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup dan sebagainya sehingga tamat pengajian.
“Dermasiswa MyBF dikhaskan kepada para pelajar daripada keluarga B40 tanpa sebarang ikatan atau bayaran balik.
“Pemilihan pelajar dibuat berdasarkan pangkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Unit Pusat Universiti (UPU), Sistem e-Kasih dan mereka tidak perlu membuat permohonan mahu pun melalui proses temuduga,”katanya.
Untuk rekod, seramai 33.4 pelajar pelajar MyBF berjaya mendapat CGPA 3.50 dan ke atas pada semester 2 tahun pengajian 2020/2021 dan analisa pencapaian akademik mendapati purata keseluruhan pelajar yang berjaya mencapai tahap CGPA 3.00 ke atas adalah melebihi 75 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!