Piala FA: TFC, Sabah tak pandang mudah lawan
TERENGGANU FC (TFC) bakal mengharungi detik permulaan sukar dalam pusingan pertama saingan Piala FA 2022 apabila diundi berdepan juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC.
Pengendali Nafuzi Zain yang mengemudi pasukan di pentas Piala FA buat kali pertama sejak membimbing pasukan Pantai Timur itu pada 2019 bagaimanapun optimis anak buahnya mampu mengatasi skuad Hobin Jang Hobin dalam perlawanan berlangsung Mac depan.
"Kami akan bertemu pasukan kuat di pusingan pertama jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan Liga Super lain. Jadi, yang penting adalah pasukan perlu melepasi pusingan pertama ini terlebih dahulu sebelum kita mahu fikir lebih jauh dalam saingan ini.
"Sudah dua musim kejohanan Piala FA dibatalkan, jadi ini tugas pertama saya untuk pasukan dan kalau bercakap mengenai tekanan, biasalah dalam undian macam-macam boleh berlaku. Kita perlu fokus untuk pusingan ini terlebih dahulu,” katanya pada Khamis.
Pertembungan Terengganu dan Negeri Sembilan menjadi satu-satunya perlawanan melibatkan pasukan Liga Super untuk pusingan pertama dan dijangka menjadi pertembungan menarik dalam perebutan ke pusingan seterusnya.
Sebagai rekod, saingan Piala FA yang diperkenalkan sejak 1990 terpaksa dibatalkan pada 2020 dan 2021 susulan penularan Covid-19.
Sementara itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tidak memandang rendah terhadap lawan mereka Respect FC meskipun kelab itu bermain dalam saingan Liga M3.
Beliau mahu The Rhinos meningkatkan usaha kerana dalam beberapa perlawanan persahabatan menjelang saingan Liga Malaysia 2022 baru-baru ini, mereka menampilkan prestasi kurang memuaskan.
"Kita tidak boleh ambil mudah dalam setiap perlawanan sebab sebelum ini dalam perlawanan persahabatan pun, kita tidak menunjukkan prestasi yang begitu baik. Jadi, berdepan kelab dari Liga M3 pun adalah sukar dan kita kena bersiap sedia untuk cuba mengharungi pusingan pertama dengan baik,” katanya.
Sehubungan itu, bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu berharap mampu membawa Sabah sejauh yang boleh dalam kempen Piala FA selain mengekalkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super.
Saingan Piala FA akan membuka tirai dengan aksi pusingan kelayakan membabitkan dua perlawanan masing-masing antara BRM FC menentang Tun Razak City FC serta Bukit Tambun FC melawan Imigresen FC yang dijadual pada 6 Mac ini, diikuti aksi pusingan pertama dari 11 hingga 13 Mac depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!