Perang Dunia Ketiga bakal meletus?

Portal berita antarabangsa, CNN melaporkan, Senator AS, Lindsey Graham berkata, Perang Dunia Ketiga akan tercetus jika China dan Iran terlibat dalam perang antara kedua-dua negara berkenaan. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Portal berita antarabangsa, CNN melaporkan, Senator AS, Lindsey Graham berkata, Perang Dunia Ketiga akan tercetus jika China dan Iran terlibat dalam perang antara kedua-dua negara berkenaan. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

PENGISYTIHARAN perang oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin ke atas Ukraine pada Khamis menggemparkan masyarakat dunia.

Ketakutan terburuk akhirnya menjadi kenyataan apabila Putin mengumumkan operasi ketenteraan di televisyen dan beberapa minit kemudian tembakan dan peluru berpandu pertama dilancarkan ke Ukraine.

Perang antara dua negara itu berlaku dalam keadaan pandemik Covid-19 masih belum berakhir bahkan di Malaysia, angka jangkitan kes harian pada Rabu merekodkan angka tertinggi iaitu 31,199 kes sejak wabak itu melanda negara.

Sesungguhnya perang dalam keadaan dunia yang masih bergelut dengan 'musuh' yang tidak dapat dilihat dianggap sebagai satu malapetaka maha dahsyat.

Tidak cukup dengan 'korban' harian angkara Covid-19, nyawa rakyat yang tidak berdosa di kedua-dua negara itu juga ibarat telur di hujung tanduk, bakal diragut bila-bila masa.

Lebih menggerunkan, konflik antara Rusia-Ukraine dikhuatiri bakal mencetuskan Perang Dunia Ketiga.

Portal berita antarabangsa, CNN melaporkan, Senator Amerika Syarikat (AS), Lindsey Graham berkata, Perang Dunia Ketiga akan tercetus jika China dan Iran terlibat dalam perang antara kedua-dua negara berkenaan.

Presiden AS, Joe Biden turut mengutuk serangan tidak wajar yang dilancarkan Rusia ke atas Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Biden dalam satu kenyataan berkata, Putin telah memilih perang yang dirancang terlebih dahulu sehingga akan memberi kerugian besar terhadap nyawa dan penderitaan manusia.

Sebelum itu darurat selama sebulan diisytiharkan di seluruh Ukraine ketika kebimbangan pencerobohan oleh Rusia semakin memuncak.

Ia susulan penggubal undang-undang meluluskan dekri oleh Presiden Volodymyr Zelenskyy untuk mengadakan darurat selama 30 hari bermula Khamis.

Pengisytiharan berkenaan susulan tindakan Putin pada Isnin yang mengiktiraf kemerdekaan dua wilayah pemberontak di timur Ukraine.

Sekiranya Perang Dunia Ketiga berlaku tidak dapat dibayangkan berapa ramai nyawa yang tidak berdosa akan terkorban selain kesan peperangan itu pastinya akan menjejaskan ekonomi dunia di saat ekonomi ketika ini masih belum pulih gara-gara pandemik.

Apa yang pasti ketika ini, peperangan itu turut memberi tempias kepada rakyat Malaysia yang berada di Ukraine.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 11 rakyat Malaysia yang berada di negara itu berada dalam keadaan selamat dan kerajaan sedang dalam proses membawa mereka pulang.

Diharapkan kesemua mereka selamat tiba ke tanah air secepat mungkin dan peperangan dua negara itu cepat berakhir agar keamanan sejagat kembali pulih.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!