Enam Jawatankuasa Khas Parlimen ditubuhkan
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dalam kenyataan yang diedarkan kepada media berkata, makluman itu dibuat menerusi Penyata Khas Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat ke-14 yang diedar kepada anggota Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, enam Jawatankuasa Pilihan Khas itu ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang; Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet: Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri; Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender; Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan; dan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.
Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang dipengerusikan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh); Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet dipengerusikan Datuk Seri Mustapa Mohamed (PH-Jeli); Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri dipengerusikan Datuk Mansor Othman (PH-Nibong Tebal).
Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender dipengerusikan Nor Azrina Surip (PH-Merbok); Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan dipengerusikan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam dipengerusikan William Leong Jee Keen (PH-Selayang).
Sementara itu, turut dimaklumkan pertukaran anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dengan Nurul Izzah antara tiga anggota Parlimen baharu dilantik menggantikan anggota sedia ada.
Nurul Izzah menggantikan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru), William Leong Jee Kean (PH-Selayang) menggantikan Willie Mongin (PH-Puncak Borneo), dan Datuk Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) menggantikan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin).
PAC dengan 12 anggota, ketika ini dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (BN-Beluran), manakala naib pengerusinya Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur).
Anggota PAC yang lain ialah Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin), Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Datuk Robert Lawson Chuan (PBB-Betong), Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) Wong Chen (PH-Subang), Steven Chong Shiau Yoon (PH-Tebrau), Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat), Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera), dan Wong Shu Qi (PH-Kluang).
Pertukaran anggota turut melibatkan Jawatankuasa Peraturan-peraturan Mesyuarat, iaitu melibatkan Sivarasa Rasiah (PH-Sungai Buloh) yang menggantikan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) serta Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bagi menggantikan Datuk Mansor Othman (PH-Nibong Tebal).
Anggota lain yang kekal ialah Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (PH-Sri Gading), Hannah Yeoh Tseow Suan (PH-Segambut), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) dan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PAS-Kuala Terengganu).
Bagi Jawatankuasa Dewan, pertukaran melibatkan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) menggantikan Nurul Izzah manakala semua anggota lain yang kekal ialah Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani), Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang), Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian).
Pertukaran turut melibatkan anggota Jawatankuasa Hak dan Kebebasan iaitu antara Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) yang menggantikan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar), manakala anggota yang kekal ialah Dr Md Farid Md Rafik (PH-Tanjung Piai), Sivakumar Varatharaju Naidu (PH-Batu Gajah), Ahmad Hassan (Warisan-Papar), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) dan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus).
Selain itu, Jawatankuasa Pemilih juga bersetuju dengan cadangan penubuhan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) dilantik sebagai pengerusinya manakala timbalan pengerusinya ialah Lim Kit Siang (Iskandar Puteri), serta dianggotai 10 anggota Parlimen lain daripada pelbagai parti iaitu PH, BN, PAS, Warisan dan PBB. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!