Ukraine 'dibiarkan bersendirian' untuk melawan Rusia
KIEV - Presiden Ukraine pada Jumaat berkata, negaranya 'dibiarkan bersendirian' untuk melawan Rusia selepas Kremlin melancarkan pencerobohan besar-besaran menyasarkan Kiev.
Menurut Volodymyr Zelensky, lebih 130 orang termasuk orang awam dan tentera terkorban sepanjang tempoh 24 jam pencerobohan Rusia.
"Kami telah ditinggalkan bersendirian untuk mempertahankan negara kami. Siapa yang sedia berjuang bersama kami? Saya tidak nampak sesiapa.
"Siapa yang bersedia memberi jaminan keanggotaan NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara)? Semua orang takut," kata Zelensky.
Pada masa sama, Zelensky - pelawak yang diangkat menjadi Presiden pada 2019 mendedahkan, bahawa kumpulan pensabotaj Rusia telah berada di ibu negara Kiev dan menggesa warga kota itu untuk terus berwaspada serta mematuhi perintah berkurung.
Tambah Zelensky, ketika ini beliau dan keluarganya kekal di Ukraine biarpun sedar dirinya adalah sasaran nombor satu Rusia.
"Mereka mahu musnahkan Ukraine secara politik dengan menjatuhkan ketua negara," kata Zelensky. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!