TNB tawar Dermasiswa MyBF

No Image Caption
A
A
A

Lebih 20,000 pelajar menerima manfaat daripada seluruh program bantuan pendidikan TNB dengan anggaran tajaan melebihi RM1.3 bilion

Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan komitmen membiayai pelajar dari keluarga berpendapatan terendah untuk mengikuti pengajian di institusi pengajian menerusi tajaan 1,760 lagi Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) bagi tahun 2021.

Tajaan ini diteruskan dalam suasana sukar susulan pandemik Covid-19 bagi menyokong usaha meningkatkan kemahiran modal insan.

Penyerahan Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) melalui Yayasan Tenaga Nasional (YTN) kepada para pelajar bagi sesi pengambilan 2021 itu disempurnakan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Ibu Pejabat TNB, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Menurut Hasan, sejak MyBF diperkenalkan pada 2018, lebih 6,800 orang pelajar dari golongan B40 menikmati pembiayaan pengajian masing-masing meliputi yuran pengajian, penginapan, elaun sara hidup dan sebagainya sehingga tamat pengajian.

Selain MyBF, katanya, TNB melalui YTN yang ditubuhkan pada 1993, turut meneruskan komitmen pemberian biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada para pelajar pengajian tinggi.

Sehingga kini, lebih 20,000 pelajar menerima manfaat daripada seluruh program bantuan pendidikan dengan anggaran tajaan melebihi RM1.3 bilion.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Sebagai warga korporat prihatin, TNB mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pendidikan. Penawaran Dermasiswa MyBF adalah strategi serampang dua mata iaitu mencipta akses pendidikan tinggi kepada golongan yang tidak berkemampuan sekali gus membasmi masalah kemiskinan.

“Membangunkan modal insan negara melalui penyediaan peluang pendidikan adalah satu daripada inisiatif tanggungjawab korporat TNB, selain daripada program-program berkaitan sosio-ekonomi, alam sekitar dan sukan,”ujarnya.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Pengarah YTN, Datuk Ir. Dr. Ibrahim Hussein.

Menurut Hasan, Dermasiswa MyBF dikhaskan kepada para pelajar daripada keluarga B40 tanpa sebarang ikatan atau pun bayaran balik.

Datuk Seri Hasan
Datuk Seri Hasan

Pemilihan pelajar dibuat berdasarkan pangkalan data Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Unit Pusat Universiti (UPU), Sistem e-Kasih dan mereka tidak perlu membuat permohonan mahu pun melalui proses temuduga.

“Surat Tawaran MyBF dikeluarkan bersekali dengan Surat Tawaran ke IPTA oleh institusi masing-masing bagi memastikan isu kewangan bukan masalah utama pelajar untuk memulakan pengajian.

“Adalah diharapkan agar inisiatif TNB ini bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan terendah bagi menampung kos pengajian, malah kemudiannya membolehkan anak-anak mereka membangunkan kerjaya yang lebih baik demi masa depan diri dan keluarga serta masyarakat,” katanya.

Program MyBF bukan sahaja memberi bantuan dalam bentuk kewangan tetapi juga membangunkan kompetensi pelajar bersama-sama nilai dan budaya murni yang mementingkan kesejahteraan sejagat termasuk dalam aspek penjagaan alam sekitar.

Sakthivel A/L Rajasingam
Sakthivel A/L Rajasingam

"Saya rasa gembira TNB pilih saya sebagai calon penerima MyBF sebab bebanan kepada keluarga akan berkurang. Saya tidak perlu risau tentang kewangan keluarga dan boleh fokus kepada pelajaran, tidak risau lagi jika saya akan memberi beban kepada ibu bapa. MyBF sangat membantu dari segi kewangan kerana MyBF ini kita tidak perlu bayar balik, jadi memang membantu pelajar untuk lebih fokus kepada pelajaran, supaya kita boleh mencapai cita-cita kita. Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang electrical engineer, kalau boleh di TNB," Sakthivel A/L Rajasingam, 19 tahun, Diploma in Electricals & Electronics Engineering, Universiti Malaysia Pahang.

Siti Nurina
Siti Nurina

"Saya rasa amat bersyukur kerana dapat menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, diploma. Saya asal daripada keluarga susah jadi saya rasa sangat bertuah bila dapat Dermasisma ini. Kalau tidak kerana MyBF, mungkin saya akan teruskan bekerja. Selepas habis SPM saya ada cari pengalaman bekerja sebagai operator kilang, dan macam-macam kerja yang saya cuba. Saya harap untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, mungkin nanti ke peringkat ijazah ataupun ke luar negara. Saya bercita-cita untuk jadi engineer dan membantu keluarga saya," Siti Nurina binti Mohd Tawfek, 19 tahun, Diploma Electrical Engineering, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mohamad Fauzi
Mohamad Fauzi

"Saya berasa amat lega anak sulung saya yang sedang belajar di Kolej Komuniti Masjid Tanah, pengajian sijil sistem komputer dan rangkaian boleh mendapat bantuan MyBF. Saya bekerja sebagai penjaja bubur ayam tepi jalan dan isteri saya bekerja di kilang, kami ada dua orang lagi anak berumur 8 dan 18. Pekerjaan saya ada banyak dugaan, kadang kala tidak ada untung, kadang kala rugi atau hujan. Saya rasa bersyukur sangat sekarang anak saya dapat fokus pada pelajarannya dan tidak perlu bekerja sambilan. Terima kasih TNB!," Mohamad Fauzi bin Awang, 53, penjaja, Semenyih, Selangor.

Noraisyah
Noraisyah

"Saya seorang suri rumah dan tidak bekerja kerana ada masalah kesihatan. Saya rasa amat bersyukur apabila dapat tahu yang anak saya adalah salah seorang yang dapat Dermasiswa MyBF ini. Saya harap dia dapat menggunakan peluang ini dengan lebih baik untuk mencapai impian dia untuk berjaya dengan cemerlang. Kalau tak dapat MyBF ini kita akan cuba jugalah usaha cara lain supaya dia dapat teruskan impian dia untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi," Noraisyah binti Shawaluddin, 45, suri rumah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!