PHD Bentong kesan kilang papan beroperasi secara haram

Antara peralatan yang terdapat di dalam sebuah kilang papan haram di Kampung Pulai Santap, Janda Baik yang diserbu pada Khamis. - Gambar ihsan PHD Bentong
Antara peralatan yang terdapat di dalam sebuah kilang papan haram di Kampung Pulai Santap, Janda Baik yang diserbu pada Khamis. - Gambar ihsan PHD Bentong
A
A
A

BENTONG- Pejabat Hutan Daerah (PHD) Bentong mengesan sebuah kilang papan yang dilengkapi pelbagai peralatan membelah dan memotong balak termasuk mesin penyedut habuk yang dipercayai beroperasi secara haram di Kampung Pulai Santap, Janda Baik, di sini pada Khamis.

Pegawai Hutan Daerah Bentong, Muhamat Azman Yahya berkata, kegiatan itu haram terbongkar selepas melakukan rondaan penguatkuasaan di sekitar Janda Baik.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan tiada aktiviti membelah kayu dilakukan dan kilang yang dilengkapi pelbagai kelengkapan itu dibiarkan kosong.

"Kita juga tidak pasti sama ada pihak yang terlibat sudah mengetahui kehadiran anggota penguat kuasa atau kilang tersebut sudah tidak beroperasi disebabkan tidak mempunyai hak bekalan balak.

"Berdasarkan siasatan, kita mengesaki kilang itu menghasilkan kayu bergergaji bersaiz kecil dan sederhana berdasarkan peralatan yang digunakan iaitu mesin bersaiz kecil," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, sindiket itu dipercayai dianggotai empat dan lima individu tempatan dan kebanyakan kayu yang dihasilkan untuk pasaran tempatan sahaja.

Katanya, harga kayu yang ditawarkan lebih murah berbanding keluaran kilang bagi menarik minat pembeli.

Dalam pada itu, Muhamat Azman berkata, pihaknya kini sedang berusaha mengesan sumber bekalan kayu yang diperolehi oleh kilang terbabit sebelum menghasilkan kayu bergergaji pelbagai saiz.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak menolak kemungkinan bahawa kilang terbabit menerima balak curi dari luar daerah ini dan di sekitar Janda Baik," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat kerjasama dengan memberi maklumat berhubung kegiatan pembalakan haram dan menghasilkan kayu bergergaji tanpa lesen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!