Pelumba sedia boikot perlumbaan di Sochi
JUARA empat kali, Sebastian Vettel memberi bayangan bersedia memboikot Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Rusia di Sochi berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Malah pelumba Aston Martin itu turut mencabar pengendali F1 untuk membatalkan perlumbaan di bumi Rusia yang dijadualkan pada 25 September depan.
"Secara peribadi bukan hanya saya tetapi semua masyarakat antarabangsa terkejut dengan situasi yang berlaku di Ukraine.
“Sejujurnya situasi yang berlaku sungguh mengerikan dan kami mempunyai perlumbaan di Rusia dalam kalendar pasukan tahun.
“Saya tidak akan pergi berlumba di sana kerana percaya adalah salah untuk berlumba di negara itu.
“Saya bersimpati terhadap mereka yang kehilangan nyawa dan cedera dalam insiden ini. Tetapi secara peribadi saya sangat terkejut dan sedih melihat apa yang berlaku," katanya.
Sementara itu, penyandang juara dunia, Max Verstappen berkata: "Saya fikir apabila sesebuah negara sedang berperang adalah tidak selamat untuk berlumba di sana, itu sudah pasti.
"Namun ia bukan sahaja apa yang saya fikir, ia juga bagaimana seluruh paddock akan memutuskan apa yang kami lakukan seterusnya."
Sementara itu, F1 berkata pihaknya sedang memerhati dengan teliti perkembangan semasa berikutan konflik tersebut sama ada GP Rusia akan berlangsung atau sebaliknya tahun ini.
Rusia melancarkan pencerobohan ke atas Ukraine pada Khamis apabila presiden Vladimir Putin mengarahkan serangan tentera ke atas jirannya.
Menurut kerajaan Ukraine, sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh berikutan serangan peluru berpandu dan letupan di bandar-bandar utama di negara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!