Hujan lebat tahap bahaya di Pantai Timur

MET Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di Pantai Timur.
MET Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di Pantai Timur.
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka berlaku di beberapa negeri bermula Jumaat hingga Sabtu.

Menerusi kenyataan dikeluarkan, MET Malaysia memaklumkan, amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan beberapa daerah di Pahang.

“Daerah terlibat di Pahang adalah Jerantut, Kuantan dan Pekan manakala amaran hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Temerloh, Maran dan Rompin.

“Amaran hujan berterusan tahap bahaya dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku dengan jumlah hujan melebihi 150 milimeter (mm) dalam tempoh 24 jam manakala amaran tahap buruk jika jumlah hujan melebihi 60mm dalam tempoh 6 jam,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Dalam pada tu, MET Malaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang (Bentong dan Bera), Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor (Segamat dan Mersing).

Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hujan atau ribut petir sedang atau dijangka berlaku melebihi 6 jam dalam sesuatu tempoh di sesuatu kawasan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan Kelantan dan Terengganu akan mengalami banjir susulan amaran hujan berterusan waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

JPS dalam kenyataannya memaklumkan banjir akan berlaku di Kelantan bermula jam 8 malam.

Artikel Berkaitan:

"Ia melibatkan daerah Kuala Krai dan Tanah Merah serta kawasan berisiko banjir," katanya pada Jumaat.

JPS berkata, kejadian serupa akan berlaku bermula jam dua petang di Lembangan Sungai Besut melibatkan daerah Besut, Lembangan Sungai Kemaman, melibatkan melibatkan daerah Kemaman; Lembangan Sungai Setiu, Lembangan Sungai Terengganu serta kawasan-kawasan sekitarnya yang berisiko banjir.

"Penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir diminta berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa. Sila dapatkan maklumat dan amaran semasa melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, atau Facebook, PublicInfoBanjir dan twitter @JPS_InfoBanjir," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!