Gangguan elektrik di Seri Kembangan pulih sepenuhnya
SERI KEMBANGAN - Gangguan bekalan elektrik di Seri Kembangan dan Equine Park yang berlaku sejak petang semalam pulih sepenuhnya pada jam 2.22 petang, hari ini.
Pengurus Besar Kanan, Distribution Network Tenaga Nasional Berhad (TNB), Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, bekalan elektrik dipulihkan pihaknya secara berperingkat sejak jam 5 petang, semalam
Menurutnya, kakitangan TNB bertungkus-lumus memulihkan bekalan elektrik dengan selamat dan segera demi keselesaan pengguna selepas berlaku kerosakan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Serdang Raya.
“Kami mohon maaf atas kesulitan dan hargai kesabaran pengguna di Seri Kembangan dan Equine Park. Bekalan dipulihkan secara berperingkat sejak jam 5 petang semalam.
“Sebanyak 67 peratus pengguna mendapat bekalan daripada Grid Nasional manakala baki pengguna lain pula mendapat bekalan elektrik menggunakan set janakuasa bergerak yang keseluruhannya berjumlah 170 unit,” katanya.
Menurutnya, pengguna yang mendapat bekalan menerusi set janakuasa bergerak akan mengalami gangguan sementara elektrik antara 15 dan 30 minit apabila bekalan ke premis mereka dihubungkan semula ke Grid Nasional.
Terdahulu beliau berkata, punca kerosakan PMU Serdang Raya disebabkan kerosakan pada peralatan panel pembahagian 33kV.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penduduk di sebahagian kawasan Seri Kembangan dan Serdang bergelap hampir 14 jam apabila berlaku gangguan bekalan elektrik sejak petang semalam.
Menerusi kenyataan dimuat naik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Careline di akaun Faceebok rasminya, pihak itu memberitahu gangguan berlaku disebabkan masalah teknikal di Pencawang Masuk Utama (PMU) Serdang Raya pada jam 3.56 petang, semalam.
Menurut kenyataan itu, antara kawasan yang terlibat adalah Taman Sri Serdang; Taman Putera Indah; Taman Bukit Serdang; Taman Serdang Perdana; Taman Sri Serdang; Taman Perindustrian Bukit Serdang;. Taman Serdang Raya dan Taman Sri Andalas.
ARTIKEL BERKAITAN: TNB mohon maaf
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!