Hujan lebat sejak malam tadi, Masjid Mukim Chenulang ditenggelami air

Masjid Mukim Chenulang dinaiki air ekoran hujan lebat sejak malam Khamis. - Gambar media sosial
Masjid Mukim Chenulang dinaiki air ekoran hujan lebat sejak malam Khamis. - Gambar media sosial
A
A
A

KUALA KRAI - Hujan berterusan sejak malam Khamis menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Krai telah ditenggelami air termasuk Masjid Mukim Chenulang yang terletak berhampiran Sungai Kuala Pertang di sini.

Ekoran hujan lebat bermula jam 8 malam Khamis, ruangan tingkat bawah masjid berkenaan sudah ditenggelami air sedalam 0.61 meter sejak pagi Jumaat.

Tok Siak Masjid Mukim Chenulang, Mohd Adnan Mat Hussin, 53 berkata, semasa dia tiba di masjid berkenaan untuk solat Subuh, air baru hendak memasuki pekarangan masjid berkenaan.

"Namun selepas selesai solat, kawasan luar masjid telah mula dinaiki air. Melihat air naik dengan cepat, saya dan jemaah bergotong-royong melipat karpet dan bawa naik ke tingkat atas.

"Air dijangka akan naik lagi sebab hujan masih belum berhenti. Apa pun kita sudah kemas apa yang patut" katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, penduduk di kawasan berkenaan bimbang melihat kejadian itu kerana biasanya musim tengkujuh di negeri-negeri Pantai Timur sudah berakhir menjelang Mac.

Namun katanya, keadaan tersebut memaksa mereka kembali bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika banjir kembali berlaku dalam waktu terdekat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, enam laluan utama kini dinaiki air antaranya Jalan Simpang Keroh-Pasir Gajah iaitu sedalam 0.5 meter.

Artikel Berkaitan:

"Lain-lain jalan terlibat ialah Jalan Kampung Mia-Kampung Ulu Manah sedalam 1.5 meter dan Jalan Kampung Bukit Sireh-Kuala Nal sedalam 0.5 meter.

"Jambatan Kampung Belanga Pahi turut dinaiki pula sedalam dua meter, jalan di hadapan Risda Kampung Bedal pula sedalam 0.8 Meter dan Jalan Chenulang-Kampung Pisang/Kuala Pertang sedalam 1.5 meter," katanya.

Menurutnya, sehingga jam 10 pagi Jumaat, tiada pemindahan penduduk dilaporkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!