Aidil Sharin masih belum ada kesebelasan utama

Pemain Sang Kenari menunjukkan prestasi dan komitmen tinggi untuk merebut kesebelasan utama menjelang aksi pertama Liga Super 2022 menentang Sarawak United pada 4 Mac ini. - Foto KDA FC
Pemain Sang Kenari menunjukkan prestasi dan komitmen tinggi untuk merebut kesebelasan utama menjelang aksi pertama Liga Super 2022 menentang Sarawak United pada 4 Mac ini. - Foto KDA FC
A
A
A

SEMUA pemain Sang Kenari menunjukkan prestasi dan komitmen tinggi untuk merebut kesebelasan utama menjelang aksi pertama Liga Super 2022 menentang Sarawak United pada 4 Mac ini.

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak berkata, pemain-pemain yang sering membarisi bangku simpanan pada musim lalu tidak ketinggalan mempamerkan belang dan perkara tersebut adalah perkara yang positif buat pasukan.

"Aksi menentang Kelantan United FC (pada Rabu) mempamerkan peningkatan prestasi berbanding aksi menentang Sabah FC (pada Kejohanan Piala Sabah Maju Jaya).

"Sekarang saya masih lagi mencari kesebelasan utama untuk perlawanan pertama Liga Super. Alhamdulilah pemain memberikan yang terbaik dan memberikan banyak pilihan kepada saya," katanya kepada pemberita di Alor Setar pada Jumaat.

Menurut Aidil Sharin, aksi persahabatan terakhir menentang Penang FC pada Sabtu di Stadium Darul Aman bakal menjadi medan terbaik kepada pemain mempersiapkan diri sebelum perlawanan sebenar.

"Beberapa pemain yang sebelum ini berada di bangku simpanan seperti Azamudin Akil dan Muhammad Fayadh Mohd Zulkifli semakin meningkat pada pra musim ini. Kita boleh nampak usaha mereka untuk merebut kesebelasan utama," ujarnya.

Mengulas mengenai aksi pusingan pertama Piala FA 2022 pula, Aidil Sharin mahu semua pemainnya tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan apabila KDA FC diundi bertemu pasukan M3, Sains FC.

"Kita bakal berdepan dua perlawanan liga dan satu aksi Piala FA dalam masa terdekat. Bagusnya kita dapat menukar dan memberikan peluang kepada semua pemain untuk turun beraksi," ujarnya.

Artikel Berkaitan: