PAC jangka selesai siasat isu tuntutan bayaran GST bulan depan
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen menjangka dapat menyelesaikan siasatan mengenai isu tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah kira-kira RM19.4 bilion menjelang akhir sesi persidangan Dewan Rakyat bulan depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata lapan mesyuarat prosiding dijalankan sejak 12 September 2018 dengan Jabatan Audit Negara (JAN) sudah dua kali memberi taklimat kepada PAC mengenai pengauditan terhadap tuntutan bayaran balik GST itu.
"PAC Parlimen meminta JAN untuk menjalankan pengauditan terperinci terhadap semua tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion bagi menentusahkan (verify) bahawa tuntutan berkenaan benar-benar berasas untuk dibayar balik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dewan Rakyat bersidang sehingga 11 April.
Kiandee berkata, PAC juga sudah mendengar penjelasan daripada semua pihak berkepentingan yang terbabit dalam perkara itu termasuk Menteri Kewangan, Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, mantan Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan II serta mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Beliau berkata jawatankuasa itu memberi jaminan segala rumusan dan syor yang akan dikemukakan kepada kerajaan berhubung isu berkenaan meliputi semua aspek dan disokong dengan data-data daripada pengauditan JAN.
Dalam pada itu, PAC juga akan meneruskan prosiding isu Projek Sistem Caj Kenderaan (RC) dan Permit Kenderaan Masuk (VEP) pada 26 dan 27 Mac ini.
Kiandee berkata prosiding itu dimulakan pada 20 Februari lepas dengan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Mohd Khairul Adib Abdul Rahman bagi memberi penjelasan.
Beliau berkata PAC juga akan memanggil bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk menghadiri prosiding berhubung isu itu. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!