Mangsa bencana kepala air Gunung Jerai meninggal dunia

Muhammad Muaz menunjukkan gambar Allahyarham bapa mentuanya, Abdullah.
Muhammad Muaz menunjukkan gambar Allahyarham bapa mentuanya, Abdullah.
A
A
A

ALOR SETAR - Mangsa bencana kepala air Gunung Jerai di Titi Hayun, Yan yang terselamat pada 18 Ogos tahun lalu meninggal dunia di kediamannya di Taman Murni, dekat sini pada pagi Jumaat.

Abdullah Morad, 57, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.30 pagi akibat jangkitan paru-paru selepas dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC), dekat sini pada 17 Februari lalu untuk mendapatkan rawatan.

Menurut menantunya, Muhammad Muaz Mohd Idris, 32, tahap kesihatan bapa mentuanya mula merosot sejak Januari lalu.

"Selepas kejadian kepala air di Titi Hayun, Yan, keadaan fizikal ayah sudah tidak macam dahulu lagi. Dia memerlukan bantuan kerusi roda dan tongkat sebab urat kaki kirinya ada yang putus. Akibatnya dia hanya boleh jalan sikit-sikit.

"Awal-awal lepas kejadian, ayah memang ada rasa trauma seperti tidak boleh dengar hujan dan guruh. Kehilangan abang kandungnya, Zainol Morad dalam kejadian itu juga memberikan kesan kepada emosinya," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Murni, dekat sini pada Jumaat.

Muhammad Muaz berkata, semasa mendapat rawatan di KMC, doktor telah mengesan cecair di dalam paru-paru bapa mentuanya pada 21 Februari.

Gambar kenangan Allahyarham Abdullah (kanan) bersama arwah abangnya, Zainol.
Gambar kenangan Allahyarham Abdullah (kanan) bersama arwah abangnya, Zainol.

"Kira-kira satu liter air berjaya dikeluarkan dan pada Khamis doktor mengesan luka serta berlaku jangkitan pada paru-paru ayah. Doktor tidak dapat buat apa-apa.

Artikel Berkaitan:

"Kami membuat keputusan untuk membawa pulang ayah dan semasa pulang ke rumah pada malam Khamis, ayah sudah berada dalam keadaan tenat," ujarnya.

Jelasnya, semua ahli keluarga termasuk isteri serta lima anak dan seorang cucu berada di samping arwah sehingga ke nafas terakhirnya.

Jenazah Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri Perlis itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gunung Sali, Alor Setar selepas solat Jumaat.

Dalam kejadian kepala air 18 Ogos tahun lalu, enam mangsa meninggal dunia selepas dihanyutkan kepala air.

Mereka yang terkorban dikenal pasti sebagai Ahmad Din, 68, Shahruzi Mohamad, 53, Zainol Morad, 66, Mohd Faizal Mohd Zohir, 28, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, dan Ridwan Poniman, 61.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!