Terengganu dilanda banjir gelombang kelima
KUALA TERENGGANU - Terengganu dilanda banjir gelombang kelima menyebabkan seramai 812 mangsa daripada 232 keluarga dipindahkan ke 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu dan Setiu pada Jumaat.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Kemaman paling teruk terjejas banjir dengan seramai 345 mangsa daripada 100 keluarga ditempatkan di tujuh buah PPS di daerah itu sehingga jam 4 petang tadi.
Katanya, antara PPS yang diaktifkan di Kemaman ialah Dewan Sivik Air Putih, Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Balai Raya Padang Kubu, Masjid Kampung Dadong, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor dan Balai Raya Padang Kemunting.
Sebuah lagi PPS iaitu di SK Air Putih digunakan untuk menempatkan pesakit Covid-19 yang dikuarantin.
"Daerah Hulu Terengganu pula menjadi daerah kedua terjejas banjir dengan 334 mangsa daripada 82 keluarga dipindahkan ke tiga PPS iaitu di Kampung Lubuk Periuk, Kampung Menerong dan Kampung Peneh.
"Bagi daerah Setiu pula sebanyak dua buah PPS telah diaktifkan bagi menempatkan 133 mangsa daripada 50 buah keluarga iaitu di Balai Raya Kampung Seladang dan SK Kampung Besut," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, orang ramai diminta berwaspada memandangkan keadaan cuaca hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan di negeri ini.
Menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, sembilan stesen sungai utama di Terengganu telah melepasi paras bahaya sehingga jam 4.15 petang tadi.
Antara stesen terlibat ialah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Sungai Besut di Kampung La, Sungai Dungun di Kuala Jengai, Empangan Tembat di Hulu Terengganu, Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Telemong di Kuala Ping, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Setiu di Kampung Besut, Setiu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!