KPKT tidak kompromi pemaju gagal siapkan PPR
PASIR GUDANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan berkompromi dengan pemaju yang gagal menyiapkan Program Perumahan Rakyat (PPR) mengikut tempoh termasuk projek terbengkalai.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tindakan pantas termasuk mengambil kira tatacara pentadbiran kontrak lebih sistematik dan penamatan kontrak akan diambil bagi menyelesaikan projek terbengkalai.
Menurut beliau, akta berkaitan juga mungkin akan dipinda bagi mengelakkan perkara sama berulang.
"Saya perlu lihat kemungkinan melakukan pindaan Akta 118 supaya dapat memberi jaminan kepada pembeli," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke PPR Masai di sini pada Jumaat
Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad.
Reezal Merican berkata, satu daripada projek yang terbengkalai PPR Masai sejak setahun lalu berikutan pemajunya berdepan krisis kewangan ketika pandemik Covid-19.
Katanya, PPR yang kos awalnya berjumlah RM60 juta dijangka disambung semula pembinaannya pada Jun ini dan mungkin siap setahun kemudian.
"Perkembangan kerja pembinaan PPR ini memerlukan hala tuju baharu terutama membabitkan perkara kontraktual," katanya.
Berkenaan PPR Kempas Permai di Kempas pula, beliau berkata, kerja penggantian sebanyak 21 lif juga dilaksanakan membabitkan kos melebihi RM10 juta di bawah Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP).
Projek berkenaan katanya, bermula pada September 2021 dan dijangka siap pada penghujung Januari 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!