Pemuda sedia 100 ruang perniagaan percuma untuk bantu belia
KOTA BHARU - Bagi membantu memajukan golongan belia negeri, seorang pemuda mengambil inisiatif menyediakan 100 ruang perniagaan di sekitar kediamannya di Kampung Pulau, Kubang Kerian, di sini.
Nur Muhammad Muhamad Zanini, 28, mengusahakan penginapan berkonsep hutan rimba rekreasi iaitu Min House Camp di kawasan kediamannya, sejak 12 tahun lalu.
Katanya, dengan adanya hutan rimba rekreasi tersebut, masyarakat kampung turut bersama-sama memeriahkan kawasan berkenaan dengan pelbagai jualan dan juga aktiviti kekeluargaan yang lain, sekali gus menjadi 'one stop centre' untuk keluarga beriadah.
"Sejak Min House Camp dibuka, kita sediakan taman untuk madu kelulut dan kita terima tetamu dari pelbagai negara. Selepas itu kawasan ini mula dimajukan dengan pembukaan inap desa dan pasar terapung.
"Kali ini kita sediakan tapak untuk Pasar Ambo atau lebih dikenali dengan pasar karat dengan jualan barangan antik, pakaian, mainan dan pelbagai lagi. Ruang inilah yang saya sediakan kepada semua anak muda dari seluruh Kelantan supaya mereka boleh bawa barang niaga mereka dan berniaga di sini secara percuma," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Menurutnya, pasar terapung menyediakan 30 ruang perniagaan di sepanjang 300 meter jeti yang dibina di pesisir sungai berhampiran hutan rimba berkenaan.
Katanya, selebihnya peniaga boleh memilih tapak di Pasar Ambo di bahagian tepi sungai yang sama dengan menyediakan pelbagai bahan jualan yang berkualiti dan murah.
"Pasar Terapung dibuka jam 4 petang hingga 7 malam manakala Pasar Ambo pula jam 4 petang hingga 11 malam pada Khamis, Jumaat dan Sabtu sahaja. Ia akan memudahkan orang ramai datang ke sini dengan keluarga di hari minggu," katanya.
Nur Muhammad memberitahu, antara aktiviti sedia ada di kawasan berkenaan adalah sukan ATV, berkayak, mencari lokan, melawat taman kelip-kelip dan spa muslimah.
"Selain itu, kita turut menyediakan kawasan yang bersesuaian bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh penularan Covid-19 pada masa kini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!