Harimau Malaya nikmati fasa persiapan sempurna

Mohd Yusoff Mahadi
Mohd Yusoff Mahadi
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya dijangka menikmati fasa ‘persiapan sempurna’ menjelang saingan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 dalam misi menamatkan kemarau 42 tahun layak ke kejohanan berprestij itu secara merit.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, status Malaysia sebagai tuan rumah bagi saingan Kumpulan E pusingan kelayakan itu dapat mengelakkan skuad Harimau Malaya daripada berdepan kekangan dari aspek perjalanan berbanding beraksi di luar negara.

Beliau berkata, kelebihan itu dapat mengurangkan perkara yang perlu dipertimbangkan pengendali pasukan negara Kim Pan Gon dalam membentuk skuad terbaik bagi menghadapi cabaran Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh dalam saingan kumpulan tersebut.

"Banyak perkara yang kita dapat elak daripada kerenah untuk pergi ke luar negara dan sebagainya, benda-benda seperti itu tidak akan timbul sebab kita berada di sini.

"Cuma kita kena gunakan kelebihan yang ada dalam aspek latihan di mana persiapan tidak akan serumit macam kita ke luar negara. Barisan jurulatih dan pengurusan perlu gunakan ia untuk pastikan pasukan bersedia sepenuhnya,” kata beliau ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini pada Jumaat.

Pada pusingan kelayakan itu yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia dijadual membuka kempen bertemu Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain (11 Jun) dan aksi terakhir menentang Bangladesh pada 14 Jun.

Mengulas mengenai cabaran daripada tiga pasukan itu, Mohd Yusoff yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM mengakui ia bukan satu tugas mudah terutama aksi menentang Bahrain dan Turkmenistan yang menduduki ranking dunia lebih baik.

Malaysia berada di ranking ke-154 dunia, jauh ditinggalkan Bahrain yang menduduki ranking ke-89 sementara Turkmenistan dan Bangladesh masing-masing di ranking ke-134 dan ke-186.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohd Yusoff berkata cabaran itu perlu dilihat dari sudut positif selepas skuad kebangsaan kini mendapat sentuhan barisan kejurulatihan baharu selain pemain negara turut bakal menerima tonik terbaik beraksi di hadapan penyokong sendiri.

"Kalau kita tewas kedua-dua perlawanan itu pasti kita tidak akan layak, jadi peluang yang ada kita gunakan untuk memberikan perlawanan terbaik. Pasukan juga boleh dianggap berwajah baharu, mungkin pemain-pemain juga pilihan terbaharu.

"Jadi dengan pasukan berwajah baharu ini kita mengharapkan mereka dapat membentuk satu gandingan lebih berkesan untuk berhadapan pasukan-pasukan dalam kumpulan,” katanya.

Hanya enam juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung di China pada Jun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!