PRN Johor: Ahli keluar parti kerana kecewa Muda tanding di Larkin

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sebilangan ahli Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertindak meninggalkan parti, dipercayai kecewa apabila parti itu bertanding di kerusi Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus menyebabkan pertembungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Naib Presidennya, Dr Thanussha Francis Xavier mengesahkan perkara itu dan menjelaskan, Muda menghormati kehendak mereka yang mahu berhenti.

“Ya, kami menerima e-mel (daripada ahli yang mahu keluar). Kami menghormati pandangan mereka dan permintaan akan diproses dengan sewajarnya,” katanya, sebagaimana yang dilaporkan The Star pada Jumaat.

Thanussha bagaimanapun menjelaskan, jumlah yang ingin meninggalkan parti itu sangat kecil.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin menyaksikan pertembungan antara Muda dengan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan setelah Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan Ketua Penerangan parti itu, Rasid Abu Bakar, 28, sebagai calon kerusi berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik yang juga dari PKR, Mohd Najwan Halimi turut berkongsi tangkap layar tweet perbualannya dengan bekas ahli Muda yang mahu menyertai parti itu.

"Alhamdulillah, lebih ramai belia sudah mula sedar dan mereka mahu bersama Keadilan (PKR)," katanya di Twitter.

Sementara itu, Suara Keadilan dalam ciapnya turut memaklumkan, ramai yang menghubungi PKR untuk menyertainya.

“Disebabkan ramai yang join #BatalKeahlianMUDA, ramai yang DM nak join KEADILAN.

“Tapi malangnya penyertaan untuk ahli baru ditutup buat sementara waktu kerana pemilihan parti akan diadakan pada bulan Mei nanti,” ciapnya.

Dari kiri Rasid, Syed Saddiq dan Sangaran selepas majlis memperkenalkan tiga lagi calon Muda di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, pada Khamis.
Dari kiri Rasid, Syed Saddiq dan Sangaran selepas majlis memperkenalkan tiga lagi calon Muda di Taman Eco Cascadia, Johor Bahru, pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!