Gudang simpan makanan udang, ikan terbakar

Bomba sedang memadam kebakaran bengkel kolam udang dan gudang penyimpanan makanan udang serta ikan di Kampung Kebun Jimah, Seremban. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat
Bomba sedang memadam kebakaran bengkel kolam udang dan gudang penyimpanan makanan udang serta ikan di Kampung Kebun Jimah, Seremban. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah bengkel kolam udang dan gudang penyimpanan makanan udang serta ikan di Kampung Kebun Jimah, Bukit Pelanduk, Port Dickson, dekat sini musnah dalam kebakaran tengah hari pada Jumaat.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson, Mohd Hairul Izam Mazelan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.21 tengah hari, sebelum 15 anggota dari BBP Port Dickson dan BBP Seremban 2 berserta dua jentera tiba di lokasi kejadian.

Katanya, bengkel berkeluasan 1,800 kaki persegi itu juga mempunyai alatan membaiki pam yang semuanya hangus terbakar.

"Api marak dengan cepat kerana kebakaran bermula berdekatan sebuah mesin generator elektrik yang menggunakan bahan bakar diesel," katanya ketika dihubungi Bernama.

Enam pekerja bengkel itu sempat menyelamatkan diri ketika kejadian, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!