Siew Kiong dakwa calon MCA dipilih ikut kepentingan pemimpin pusat
JOHOR BAHRU - Ketua MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong menyifatkan pemilihan calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diputuskan dengan tidak bersandarkan kelayakan sebaliknya mengikut kepentingan pemimpin tertinggi parti itu.
Beliau yang juga Penasihat kepada Menteri Besar Johor mendakwa, keputusan pemilihan calon parti itu sebenarnya mempunyai agenda untuk mengukuhkan kedudukan pemimpin-pemimpin tertinggi MCA.
"Pemimpin MCA pusat hanya mahu mengukuhkan kedudukan dalam parti dengan mencalonkan individu yang merupakan penyokong mereka.
"Pendek kata, pemimpin MCA lebih mementingkan pilihan parti berbanding daripada kepentingan masyarakat dalam PRN Johor ini," katanya dalam sidang media di Pejabat Pusat Ekonomi Digital Johor, Danga Bay, di sini pada Jumaat.
Sebelum itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membuat pengumuman calon akhir MCA bagi PRN Johor pada Sambutan Ulang Tahun MCA ke-73 di Dewan Persatuan Akhlak Che Ann Khor Yong Peng, Yong Peng, pada Jumaat.
Pada Khamis, Ka Siong mengumumkan 14 daripada 15 calon parti itu yang akan bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.
Siew Kiong yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang mendakwa, pemilihan calon itu juga dipengaruhi amalan berpuak-puak dalam MCA.
Bekas Exco Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri Johor itu tidak menolak kemungkinan amalan tersebut juga menyebabkan beliau tidak dicalonkan pada kali ini.
Katanya, bukti dakwaan itu boleh dilihat apabila kepimpinan MCA pusat membariskan calon-calon yang tidak mempunyai jawatan di peringkat bahagian dan tidak dikenali masyarakat setempat.
Menurutnya, antara 15 calon yang ditampilkan ada antaranya merupakan pegawai kepada menteri dan timbalan menteri.
Sehubungan itu, beliau meminta maaf kepada masyarakat khususnya penyokongnya kerana tidak dapat mewakili mereka dalam PRN Johor termasuk mana-mana pimpinan bahagian MCA yang berkelayakan tetapi tidak tercalon kerana sokongan mereka terhadapnya.
"Saya turut berasa kesal kerana pemimpin parti tidak mempertahankan kerusi tradisi MCA iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang hanya kerana kepentingan politik dan agenda peribadi," ujarnya.
Walaupun tidak dicalonkan, Ka Siong masih kekal setia dengan perjuangannya MCA demi kesejahteraan rakyat.
"Saya tetap berterima kasih kepada sokongan diberikan kepimpinan BN negeri dan pusat terhadap saya walaupun pada akhirnya parti saya sendiri tidak bertolak ansur.
"Akhirnya, saya berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat dan memberi sokongan kepada saya, saya percaya jika satu pintu ditutup, akan ada pintu lain yang terbuka buat saya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!