PM diberi sambutan permaidani merah di Thailand

Ismail Sabri bersama Prayuth pada majlis sambutan rasmi lawatan Perdana Menteri Malaysia di Rumah Kerajaan, di Bangkok pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri bersama Prayuth pada majlis sambutan rasmi lawatan Perdana Menteri Malaysia di Rumah Kerajaan, di Bangkok pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disambut dengan hamparan permaidani merah sebaik tiba di pekarangan pejabat Perdana Menteri Thailand, yang dikenali sebagai Rumah Kerajaan, di sini hari ini.

Ketibaan beliau disambut oleh rakan sejawatnya, Prayuth Chan o-cha sebelum lagu kebangsaan Malaysia serta lagu kebangsaan Thailand dialunkan, dan kedua-dua pemimpin itu memeriksa perbarisan kawalan kehormat.

Mereka kemudiannya mengadakan mesyuarat bersama bagi membincangkan isu-isu berkaitan hubungan dua hala, kerjasama ekonomi dalam pelbagai bidang, di samping isu-isu serantau dan antarabangsa.

Ismail Sabri dan Prayuth dijangka mengadakan persidangan media bersama selepas mesyuarat.

Beliau kemudiannya menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Prayuth di Rumah Kerajaan.

Ismail Sabri tiba di Bangkok semalam untuk memulakan lawatan sulung beliau ke Thailand selama tiga hari, sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan Ogos lepas.

Lawatan rasmi Ismail Sabri ini adalah sebahagian daripada lawatan pengenalannya ke negara-negara di Asia Tenggara sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, dan sebelum ini beliau telah melawat Indonesia, Singapura, Brunei dan Kemboja.

Thailand kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia di dunia dan kedua terbesar di dalam ASEAN, manakala Malaysia kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand di dunia.

Artikel Berkaitan:

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand mencatatkan peningkatan positif sebanyak 23 peratus dengan jumlah perdagangan bernilai RM97.97 bilion tahun lepas berbanding RM79.63 bilion bagi 2020. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!