KEMAMAN - Seorang buruh dipenjara 15 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku bersalah mencabul adik iparnya di sebuah rumah di tanah rancangan Felda di sini pada pertengahan bulan ini. Tertuduh yang berusia 32 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencabul adik iparnya yang berusia 19 tahun pada jam 4 petang, 15 Februari lalu. Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhanisah S H Sahul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.