Tekanan lebih kepada Harimau Selatan

Bojan Hodak (dua dari kanan) bersama Safee Sali pada Sidang Media Perlawanan Sumbangsih antara JDT dan KL City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.
Bojan Hodak (dua dari kanan) bersama Safee Sali pada Sidang Media Perlawanan Sumbangsih antara JDT dan KL City FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Jumaat.
A
A
A

TEKANAN untuk memenangi Piala Sultan Haji Ahmad Shah adalah lebih untuk Johor Darul Ta’zim (JDT), berikutan kekalahan mereka kepada Kuala Lumpur City FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim lepas, kata Ketua Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak.

Beliau percaya bahawa JDT akan cuba lakukan yang terbaik untuk memenangi perlawanan Piala Sumbangsih, malam esok.

"Saya rasa JDT lebih berhadapan tekanan selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, saya tahu mereka akan lakukan apa yang boleh untuk memenangi perlawanan itu.

"Jadi saya berharap yang perlawanan itu akan mempunyai pengadil yang bagus seperti pada perlawanan akhir dan kami akan berikan permainan yang baik untuk orang ramai esok,” katanya pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri pada Jumaat

Turut hadir pemain KL City FC, Mohd Safee Mohd Sali; Ketua Jurulatih JDT, Benjamin Mora dan ketua pasukan JDT, Mohd Farizal Marlias.

Hodak berkata, kesemua pemainnya bebas daripada kecederaan dan berada dalam keadaan terbaik.

"Tidak ada sebarang kecederaan dan kesemuanya berlatih sepenuhnya, hanya seorang atau dua pemain yang tidak 100 peratus cergas, jadi inilah hanya apa yang boleh saya tentukan esok,” katanya.

Sementara itu, Mora berkata, JDT sudah bersedia untuk berhadapan KL City FC dan berazam untuk melakukan apa sahaja bagi memenangi perlawanan Piala Sumbangsih esok.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan berada dalam keadaan baik, kami mempunyai skuad penuh dan ramai pemain sudah kembali cergas... kami bersedia untuk cabaran.

"KL City FC adalah sebuah pasukan yang sukar, mereka tunjukkan yang mereka boleh melawan dan tidak mengalah dengan mudah, itu yang akan menjadi suatu cabaran paling sukar untuk kami dan kami akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Perlawanan Piala Sumbangsih antara juara Liga Super lapan kali JDT dan pemenang Piala Malaysia 2021 KL City FC bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah akan berlangsung Sabtu, yang juga menandakan permulaan musim 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!