Hampir 80,000 pelajar dapat pengecualian bayaran balik PTPTN
BATU PAHAT - Seramai 79,873 pelajar di seluruh negara layak menerima pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan peruntukan RM2.06 bilion sehingga 31 Januari lepas.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, daripada jumlah itu 11,287 orang peminjam adalah dari Johor yang membabitkan peruntukan keseluruhan RM294 juta.
Beliau berkata, perbadanan itu menyediakan pengecualian bayaran balik pinjaman kepada para peminjam bagi kategori keluarga B40 dan M40, yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
"Menerusi inisiatif ini, peminjam PTPTN yang layak tidak perlu membuat bayaran balik pinjaman mereka. Usaha ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan membantu Keluarga Malaysia daripada golongan B40 dan M40 mendapat akses kepada pendidikan tinggi, selain meringankan kewangan mereka semasa pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Noraini menyampaikan Surat Kelulusan Pengecualian Bayaran Balik Pinjaman PTPTN bagi peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama, kepada dua penerima di kediaman mereka di sini.
Dua penerima itu adalah siswazah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam Sayyida Aisya Azira Hady Purnama dan siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Kampus Kuantan, Pahang) Aishah Hanis Abdul Majid yang masing-masing menerima pengecualian bayaran balik sebanyak RM9,980 dan RM19,960. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!