Melaka United sasar satu piala musim 2022
MELAKA - Melaka United menyasarkan untuk memenangi sekurangnya satu piala musim depan selain menduduki tempat ketiga dalam saingan Liga Super musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Melaka United (MUFC), Datuk Seri Justin Lim Hwa Tat berkata, sasaran itu berdasarkan keyakinannya terhadap barisan pemain kendalian ketua jurulatih, Risto Vidakovic.
"Saya yakin dengan kemampuan mereka yang dipilih oleh Vidakovic dan mereka adalah pemain profesional, pastinya dapat menyesuaikan diri dengan latihan walaupun terdapat kekangan masa.
"Dengan segala usaha yang dilakukan ini kita juga turut mengharapkan sokongan daripada para penyokong Melaka United untuk bersama merealisasikan hasrat ini,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.
Terdahulu beliau mengiringi Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam menyempurnakan pelancaran jersi baharu pasukan bagi musim 2022 di Stadium Hang Jebat.
Pada majlis itu Melaka United melancarkan jersi keluaran Al-Ikhsan Sport iaitu mengekalkan warna tradisi pasukan iaitu hijau gelap, yang digabungkan warna hijau muda di bahagian lengan bagi jersi di halaman sendiri manakala jersi di tempat lawan menggunakan corak warna merah terang selain tiga jersi penjaga gol.Pada pelancaran itu juga Melaka United turut mengumumkan senarai pemain yang bakal membawa cabaran pasukan bagi musim 2022 iaitu seramai 27 pemain membabitkan 16 pemain baharu serta 11 pemain musim lalu.
Skuad Sang Kancil juga memperkuatkan pasukan dengan membawa tiga import baharu termasuk bekas penyerang Melaka United musim 2018 Ifedayo Olusegun, pemain sayap dari Ghana Emmanuel Oti Essigba dan Pertahanan Kebangsaan Filipina Justin Baas.
Dua import musim lalu iaitu Sony Norde (Haiti) dan Adriano Naarcizo (Brazil) dikekalkan, bagi membawa cabaran Skuad Hang Tuah menghadapi saingan Liga Malaysia 2022.
Turut berlangsung perlawanan Persahabatan Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Melaka 2022 antara Melaka United FC dan Selangor FC. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!